Pakar parti baru dalam arena pembangkang Sabah yang sesak


Desmond Davidson

Pembangkang di Sabah menerima sebuah lagi parti baru dengan penubuhan Pakar. – Gambar EPA, 2 Mei, 2017.

Sabah mempunyai sebuah lagi parti baru.

Parti Kerjasama Rakyat Sabah (Pakar) dengan bekas setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Henrynus Amin selaku presidennya, ialah pemain terbaru dalam lambakan parti pembangkang yang memenuhi Sabah yang setakat ini jika dikira mempunyai parti pembangkang mencecah hampir 30 buah parti.

Henrynus, yang juga merupakan presiden Kongres Momogun Kebangsaan (MNC)- sebuah organisasi yang menjaga kepentingan masyarakat pribumi Sabah- mengeluarkan kenyataan pada Sabtu lepas bahawa dia sudah keluar daripada PBS.

Pengasas yang juga merupakan Presiden Pakar sebelum ini, Zainal Nasiruddin menyerahkan jawatan itu kepada Henrynus.  

Zainal kini ialah timbalannya.

Ahli PBS sejak 1986, Henrynus berkata yang dia akan kembali aktif dalam politik selepas tiga tahun menghilangkan diri “untuk membentuk platform politik baru bagi memenuhi matlamat asal PBS yang ditubuhkan 30 tahun lepas”.

Ketika dia mengundurkan diri, dia mengeluarkan kenyataan serangan terhadap PBS menyifatkan parti itu sebagai “parti yang terperangkap dalam kejayaan sendiri”, gagal untuk menangani ketidakpuasan hati akar umbi yang semakin berkembang, dan “memasuki perjuangan sebenar seperti yang dimahukan parti itu 3o tahun lalu”.

“PBS bermula dengan matlamat mulia 30 tahun lepas dan rakyat menyokong idea politik PBS tanpa belah bahagi. Tetapi penyokong PBS mula meragui kemampuan parti untuk memenuhi janji mereka terhadap rakyat Sabah.”

Katanya lagi yang PBS bergelut dengan masalah sama yang berulang sejak tiga dekad lepas tetapi “tidak mengeluarkan kesan jelas kerana PBS dianggap kecil, lemah dan tiada kuasa kerana taktik pecah dan perintah”.

Henrynus juga menyalahkan kegagalan PBS untuk bergabung dengan parti berasaskan Kadazandusun Murut (KDM) yang lain seperti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)- parti serpihan PBS- yang katanya akan membuatkan PBS lebih kuat.

Dia menyalahkan kegagalan ini kepada “kumpulan berkuasa dalam PBS”.

Pilihanraya umum lepas ialah bukti PBS perlahan-lahan hilang kekuatannya, kata Henrynus.

Parti itu bertanding di 13 kerusi negeri dan kalah empat kerusi.

Dia juga berkata yang parti itu hilang undi popular di hampir seluruh kerusi dewan undangan negeri dan parlimen yang ditandingini parti itu.

“Tidak banyak keyakinan yang wujud dalam kalangan penyokong PBS yang parti boleh pulih daripada keputusan lemah pilihanraya.”

Katanya lagi sekiranya PBS menentang arus sentimen akar umbi dalam pilihanraya umum akan datang, “parti itu mungkin akan kalah lebih teruk”.

lalu banyak parti politik di Sabah dan “pembangkang nampak agak sesak”, tetapi dia tidak gentar.

“Umumnya pengundi masih belum membuat keputusan tentang pilihan parti politik mana untuk diundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, berdasarkan pemerhatiannya, majoriti pengundi Sabah walaupun sudah menjadi ahli parti tertentu “masih tidak membuat keputusan atau menjadi pengundi atas pagar menunggu pilihan yang tepat untuk mengundi bergantung kepada dinamik isu politik yang muncul”.

“Ada isu yang tidak dijelaskan dengan baik oleh parti politik daripada kedua-dua belah pihak. Jadi saya memasuki arena politik untuk menyusun kembali isu dan pergerakan politik akar umbi yang baru bagi mengubah dinamik strategi politik pembangkang,” katanya.

Henrynus berkata Pakar terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain “untuk mencapai keputusan pilihanraya yang diinginkan” tetapi keterbukaan ini hanya untuk parti yang “menyokong lima isu terasnya”. – 2 Mei, 2017.

 


Sign up or sign in here to comment.


Comments