ANWAR Ibrahim mendakwa beliau sudah membariskan tiga projek besar di Port Dickson sebaik saja selepas dicalonkan pada pilihan raya kecil (PRK) itu.
Bakal presiden PKR itu berkata antara projek yang dijanjikan ke kawasan itu ialah hotel lima bintang, program pendidikan untuk kanak-kanak dan program penerbangan untuk bandar tepi laut itu.
Bekas timbalan perdana menteri itu sebelum ini berkata satu syarikat Singapura berjanji untuk membina hotel lima bintang bernilai RM250 juta.
Bagaimanapun, Anwawr berkata ia dengan syarat syarikat itu membantu membina projek perumahan kos rendah untuk penduduk tempatan di Port Dickson.
“Jika anda hendak bina hotel lima bintang. Itu okay. Tetapi anda juga perlu bina projek perumahan kos rendah untuk rakyat.
“Anda mahu projek, saya akan bincang dengan menteri besar untuk cepatkan. Kita boleh cepatkan untuk kurangkan kos,” katanya tentang rundingannya dengan pemaju terbabit.
Tentang projek kedua, Anwar berkata sebuah syarikat penerbangan terkenal di rantau ini akan menjalankan operasi program latihan dari Port Dickson tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
“Sebuah syarikat penerbangan besar di rantau Asia bersetuju melancarkan program khas yang akan berpangkalan di Port Dickson,” katanya.
Untuk projek ketiga pula, Anwar berkata beliau akan melancarkan program pendidikan minggu depan untuk pelajar.
“Minggu depan, saya akan lancarkan program pendidikan kanak-kanak. Akan ada kelas tambahan untuk darjah satu hingga tingkatan lima. Saya akan umumkan butirannya pada pelancaran itu,” kata Anwar. – 1 Oktober, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen