UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memantau semua pelaksanaan pelan menyusun semula hala tuju parti itu seperti yang dipersetujui dalam perhimpunan agungnya, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri sebagai tanda komitmennya untuk memulihkan semula Umno selepas pengalaman pahit Pilihan Raya Umum ke-14.
Pelan hala tuju Umno itu dibentangkan oleh Zahid dalam ucapan dasarnya semalam, mengandungi satu matlamat iaitu jadi kerajaan semula. Matlamat itu akan diusahakan dengan 7 teras dengan 21 langkah.
“Saya mohon dilaksana segera (pemerkasaan parti) dengan ahli Majlis Tertinggi, perwakilan negeri, bahagian dan cawangan.
“Saya sendiri menjadi pengerusi Sekretariat Pelaksanaan Hala Tuju Umno.
“Ertinya apabila saya menjadi pengerusi, langkah-langkah ini saya sendiri ambil peduli untuk dilaksanakan seluruh langkah ini,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur petang tadi.
Sementara itu, Zahid mengingatkan semua pimpinan dan ahli Umno supaya tidak “cakap belakang-belakang” sebaliknya, datang bersemuka dengan beliau sekiranya mereka ada cadangan yang baik untuk masa depan parti.
“Pintu saya sentiasa terbuka, pintu pejabat terbuka. Tak payah buat appointment (temu janji) kalau saya tahu, ingin memberikan lontaran pandangan.
“Datang ke pejabat saya di Tingkat 38 PWTC, bila-bila masa,” kata beliau dalam kenyataan yang dilihat ditujukan kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas pesaingnya dalam pemilihan parti Jun lalu.

Tambah Zahid, walaupun beliau terbuka untuk menerima sebarang pandangan mahupun kritikan, tetapi keterbukaan itu ada hadnya.
“Parti tidak statik tetapi dinamik. Kita tidak tahu apa-apa yang berlaku. Jiwa perlu terbuka terima perubahan tetapi jangan kritik sebelum lihat, jangan beri kritikan melulu,” jelas beliau.
Kata Zahid, beliau meraikan perbezaan pendapat tetapi perbezaan itu perlu dibincangkan dengan bijaksana.
Sebelum ini, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno lantang mengkritik kepimpinan Zahid yang dikatakan tidak menunjukkan hala tuju yang jelas selepas Umno kalah PRU14.
Beliau menyifatkan, ucapan dasar Zahidi semalam tidak jelas dan tidak memberi fokus terhadap hala tuju parti.
Zahid dalam ucapan dasarnya malam tadi membentangkan tujuh teras dengan 21 langkah untuk Umno berkuasa semula, parti yang beliau sifatkan “bukan saja pembangkang tetapi kerajaan menanti”.
Khairy dalam reaksi awalnya berkata walaupun sudah ada hala tuju, semua itu akan bergantung pada pelaksanaannya. – 30 September, 2018.
Komen