TIADA sebarang sekatan mahupun halangan kepada media untuk melaporkan sebarang berita mengenai Perhimpunan Agong Umno 2018 (PAU 2018), kata Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah.
Bagaimanapun, media tetap tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan ketika sidang perbahasan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri seperti yang biasa dilaksanakan sebelum ini, katanya.
“Ini pendekatan yang (pernah) dibuat sebelum ini. Kita tidak sekat, kita juga tidak kawal apa-apa bentuk yang ingin dikeluarkan media,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Jelasnya, hanya Umno Online dibenarkan masuk untuk mengikuti perbahasan, namun Umno tidak menyembunyikan apa-apa yang diperbahaskan oleh jurucakap ketika sesi perbahasan.
Video perbahasan yang disiarkan secara tertunda melalui litar tertutup kepada pemberita di pusat media di bangunan tersebut juga hanya melibatkan pembahas tertentu.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Anuar enggan mengulas lanjut dan berkata media masih mendapat bahan liputan.
“Tapi anda masih dapat berita bukan?” soalnya semula kepada media.
Dalam perhimpunan kali ini, hanya ucapan perasmian dan dasar daripada presiden, timbalan presiden, dan ketua-ketua Sayap Umno sahaja disiarkan secara lansung.
Bagi perbahasan perwakilan pula, media hanya boleh mendengar perbahasan itu melalui televisyen yang diletakkan di pusat media, tetapi siaran itu tertunda 30 minit daripada waktu sebenar.
Ucapan beberapa orang pembahas pula langsung tidak disiarkan yang menimbulkan tanda tanya sekiranya ia disekat. – Bernama, 30 September, 2018.
Komen