Peniaga Singapura mahu melabur di PD, kata Anwar


Kamles Kumar

Calon PKR bagi pilihan raya kecil Port Dickson Anwar Ibrahim beramah mesra dengan masyarakat ketika berkempen di Bukit Pelanduk di Port Dickson hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2018

ANWAR Ibrahim berjanji membangunkan Port Dickson, menggunakan pelaburan dari Singapura dalam hari pertama kempennya di kawasan itu hari ini.

Dalam majlis bertemu rakyat dengan masyarakat Cina di Bukit Pelanduk, Anwar bercakap tentang beberapa syarikat Singapura yang berikrar membantu pembangunan ekonomi di Port Dickson.

“Terdapat persidangan di Singapura, mereka menyatakan sedia membantu membangunkan Port Dickson. Saya belum jadi ahli Parlimen lagi, mereka sudah sedia dengan projek untuk Port Dickson. 

“Negara ini kaya, tetapi rakyat hidup dalam kesusahan. Saya mahu negara ini bangkit menjadi nombor satu dalam ekonomi,” katanya diiringi tepukan gemuruh orang ramai. 

Bakal presiden PKR tu berkata, beliau boleh memilih mana-mana tempat di Malaysia tetapi memilih untuk bertanding di kawasan yang sinonim dengan keindahan pantainya.

“Saya pilih Port Dickson. Ada sebabnya. Saya pilih Port Dickson kerana mahu membangunkan kawasan ini. Saya akan bangunkan kawasan ini dan mewujudkan peluang pekerjaan,” kata Anwar kepada penduduk di sebuah kuil tempatan hari ini. 

Bukit Pelanduk terkenal dengan penternakan babi, namun ia terjejas selepas penularan wabak Nipah pada 1998 yang membunuh 108 nyawa serta menyebabkan mereka dalam industri itu hilang pekerjaan. 

Penternak di kawasan berkenaan kemudian bertukar kepada industri lain namun kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan pengundi muda turut berhijrah keluar. 

Anwar Ibrahim dalam kempennya hari ini berkata, terdapat syarikat Singapura yang bersedia melabur di Port Dickson untuk merancakkan ekonomi kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2018.

Tambah Anwar, beliau memahami kesusahan penduduk setempat kerana beliau juga adalah dari latar belakang yang susah sebelum menjadi timbalan perdana menteri pada suatu ketika dahulu. 

Bekas penternak babi, Hee percaya Anwar mempunyai rancangan untuk meningkatkan ekonomi dan membawa balik pengundi muda ke Port Dickson. 

“Anwar kini bersama kerajaan. Beliau akan membangunkan kawasan ini, kami yakin. Anwar ada rancangannya,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata Anwar adalah seorang yang sederhana dan sesuai menjadi perdana menteri tidak seperti kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. 

“BN adalah Islamik. Anwar lebih baik. Beliau lebih sederhana. 

“Kami mendoakannya. Kami suka cadangan beliau menjadi perdana menteri. Siapa tidak mahu perdana menteri dari kawasan ini,” katanya. 

Bekas anggta tentera Wong Tak Eng berkata pesara tentera turut menyokong Anwar kerana beliau mampu membawa pembangunan kepada Port Dickson.

“Anwar sudah diuji dan kini beliau mahu membawa perubahan. Beliau menderita selama 20 tahun, beliau melakukan sesuatu untuk rakyat. Beliau sudah menyesal,” katanya.

Bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu tidak kisah bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah menyerahkan kerusinya kepada Anwar. 

“Beliau sangat baik, Danyal. Beliau beri laluan kepada Anwar untuk kebaikan,” kata Wong. 

Mengenai pesaing Anwar, belau berkata mereka akan tewas terutamanya bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad yang terlibat dalam beberapa skandal termasuk isu Felda. 

Isa memegang jawatan sebagai pengerusi Felda - dari 2011 hingga tahun lalu - dicemari dengan skandla termasuk urusan jual beli tanah dan hotel. Beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis berhubung dakwaan penglibatannya. 

Pada Ogos tahun lalu, beliau ditahan oleh SPRM selama lima hari. 

Anwar akan menentang Isa, pesara pegawai tentera Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – 30 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen