Kotakan janji asing kuasa Peguam Negara mendakwa, kata peguam


Bede Hong

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Gurdial Singh Nijar berkata pencalonan pendakwa raya boleh dibuat oleh jawatankuasa khas dan tertakluk kepada kelulusan Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018 

KERAJAAN perlu mengasingkan peranan pendakwa raya awam daripada Peguam Negara bagi mengelakkan konflik kepentingan, kata peguam dan pakar undang-undang. 

Mereka berkata, perkara ini turut dijanjikan Pakatan Harapan sebelum berkuasa. 

“Mengasingkan peranan ini adalah penting kerana Peguam Negara sekarang adalah ketua peguam bagi kerajaan, yang merupakan eksekutif. Beliau mendapat arahan daripada kabinet,” kata bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Gurdial Singh Nijar. 

“Yang mana jika ada ahli kabinet melakukan kesalahan, Peguam Negara masih di kedudukan sukar,” tambah Gurdial yang juga presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam).

Bekas peguam Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 Jun.

Peuam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kepada Putrajaya dan Yang di-Pertuan Agong, kabinet atau mana-mana menteri berhubung perkara undang-undang.

Peranan pendakwaraya awam pula, adalah untuk menginstitusikan, menjalankan atau menghentikan prosiding untuk kesalahan di mahkamah sivil. 

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Peguam Negara dengan kedua-dua peranan menasihati kerajaan dan menjalankan kuasa pendakwaan. 

Gabungan itu diperkuatkan lagi dengan Kanun Prosedur Jenayah, menimbulkan potensi konflik kepentingan, seperti yang ditunjukkan oleh bekas Peguam Negara Apandi Ali yang membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada dakwaan salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad pada 2016, kata Gurdial. 

Bagaimanapun, proses pemisahan peranan itu mengambil masa yang lama, dengan beberapa peguam percaya pindaan itu memerlukan undang-undang relevan untuk menubuhkan pejabat pengarah pendakwaraya awam. 

Gurdial berkata, pencalonan pendakwaraya awam boleh dibuat oleh jawatankuasa khas dan tertakluk kepada kelulusan Parlimen. 

“Perdana menteri tidak perlu ada peranan dalam pemilihan dan/atau proses pelantikan,” tambahnya. 

Peguam perlembagaan Surendra Ananth berkata perdana menteri kemudian perlu terikat dengan keputusan jawatankuasa ketika menasihat Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan itu bagi memastikan kebebasan pendakwa raya awam 

“Bagaimanapun perlu ada kerjasama dan interaksi antara Peguam Negara dan pendakwaraya awam apabila berkaitan dasar keadilan jenayah dan ekstradisi.”

Pemisahan peranan ini tidak akan ada kelemahan, kata Surendra.

“Sekiranya dilakukan dengan betul, pendakwa raya awa bebas untuk membuat keputusan, termasuk terhadap ahli kabinet, tanpa takut dihukum. 

“Sekiranya terdapat merit untuk kes menjamin pertuduhan jenayah, pendakwa raya awam bebas boleh bertindak dalam cara yang tidak memihak.

“Saya tidak melihat bagaimana ini akan melemahkan PH. Lagipun mereka janjikan pengasingan ini dalam manifesto mereka,” katanya.

Ketika dilantik sebagai Peguan Negara yang baharu, Tommy Thomas berkata beliau akan menggesa pengasingan pejabat pendakwa raya awam dan peranan Peguam Negara. 

“Badan Peguam saya baru sahaja berhenti menjadi ahli, telah mengambil kedudukan itu selama beberapa dekad,” kata Thomas.

“Pandangan peribadi saya konsisten dengan Badan Peguam. Saya gembira pembaharuan kerajaan, yang saya berkhidmat sekarang, sudah melakukannya dan kami akan berusaha ke arah itu. 

“Saya rasa terdapat proses dan ia akan mengambil masa dan saya akan dibantu oleh jabatan,” tambahnya. – 30 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen