SAMA seperti standard ucapan ketika beliau mengetuai Pemuda Umno pada 1998, yang kemudiannya memakan diri sendiri.
Dalam ucapannya 20 tahun lalu, beliau membangkitkan soal nepotisme dan kronisme dalam kerajaan. Tetapi kemudiannya terdedah beliaulah orang yang banyak juga mengaut kontrak kerajaan apabila senarai penerimanya ditampal pada sepanjang dinding di PWTC.
Itulah markah untuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan ucapan sulung sebagai orang nombor satu parti di Perhimpunan Agung Umno 2018, malam tadi. Penuh retorik dan sangat bergaya lama.
Secara keseluruhan, Zahid masih memberikan isyarat yang sama dengan wawancara media sebelum PAU 2018. Bahawa Umno akan berpakat dengan mana-mana parti untuk kembali menjadi kerajaan. Ia mudah dibaca, sama ada PKR atau Bersatu.
Sebelum PAU bermula, sudah heboh isu Zahid mengadakan pertemuan dan rundingan dengan pemimpin kedua-dua parti itu. Zahid seperti menghidu masalah bakal berlaku dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), lalu segera memulakan negosiasi politik.
Justeru, kerana igauan negosiasi itu, ia terbawa-bawa dalam ucapan dasarnya. Semangat ucapan itu masih dipenuhi mimpi untuk kembali berkuasa tanpa perlu menanti PRU15. Malah, tujuh agenda dan 21 langkah yang menjadi teras ucapannya hanya berbau retorika; tidak praktikal dijadikan lampu utama untuk Umno yang kini dalam kegelapan.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyindir ucapan dasar Presiden sebagai ‘tidak jelas’. KJ menyindir sikap flip flop politik Zahid. Seminggu sebelum PAU, heboh Umno akan bentuk kerajaan dengan kerjasama parti dalam PH. Namun, dalam ucapan dasar disebut pula dengan rakan pembangkang.
Tujuh teras dengan 21 langkah tindakan itu pula, sengaja dijumlahkan dengan angka-angka magis alam Melayu. Zahid sengaja mencari retorik angka sebagai ‘penjodoh’ dasarnya. Secara kuno, masih ada kepercayaan, konon impak mitos angka mampu menyebabkan ahli jadi birahi. Angka mandrem mampu membuatkan musuh terkencing dalam seluar.
Zahid sepatutnya mengukuhkan kedudukan Umno dengan terma kerajaan menanti. Umno perlu dilihat bersedia. Perlu nampak relevan dan ada ketokohan untuk kembali berkuasa. Imej parti kleptokrasi dan wajah-wajah pemimpin kanan yang berada di sekitar bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah beban utama mendapatkan kepercayaan rakyat.
Zahid sebagai bekas timbalan kepada Najib juga harus menerima, dirinya turut tercalar teruk dengan tuduhan kerajaan kleptokrasi Najib.
Justeru, masalah utama Umno bukan kesediaan akar umbi tetapi imej pemimpin kanan yang kebanyakan adalah kabinet pada era yang dituduh kleptokrasi itu.
Umno kena pastikan, proses menyakinkan rakyat melalui imej kerajaan menanti, ialah membuktikan, tiada keraguan dan kemarahan awam apabila Umno kembali berkuasa. Buat masa sekarang, berdasarkan semangat PRU14, Umno dianggap trauma awam dengan isu korupsi yang teruk.
Tanpa melihat masalah sebenar Umno mengenai imej pemimpinnya yang teruk dicalarkan dengan rasuah, ucapan Zahid gagal memikat. Sampai tamat PAU 2018 nanti, kalau sikap Zahid hanya mahukan Umno kembali berkuasa dalam kerajaan, ia bukan agenda yang realisitik.
Silap Zahid hebohkan Umno bentuk kerajaan.
Sejak sebelum PAU 2018, Zahid sudah secara terbuka meletakkan Umno dalam keadaan bersedia untuk mengambil kesempatan terhadap krisis dan perpecahan dalam PH.
Sikap kemaruk kuasa hanya menjadikan ahli Umno terus melihat Zahid sebagai pemimpin paling lemah dalam sejarah Umno. Malah, timbul prejudis: Apakah Zahid menggunakan Umno untuk negosiasi peribadi menjadikan dirinya timbalan perdana menteri sekali lagi?
Zahid dalam ucapan dasar turut dengan bangga mengatakan: Penubuhan Umno bukan untuk menang pilihan raya. Umno ditubuhkan bagi wadah perjuangan demi kepentingan agama, bangsa, ekonomi dan pendidikan orang Melayu.
Bunyi jelas sangat retorik. Apa hal hingga kalah PRU14 lalu, Umno tidak perlu melihatnya sebagai terlalu penting. Apa erti tanpa kuasa. Apa cara Umno mahu beristiqamah dengan agenda perjuangan kalau tanpa kuasa.
Perghhh! Di sinilah Zahid memasukkan jarum politiknya. Walaupun tumpul, masih boleh menikam. Cuma sangat menyakitkan ahli parti. Zahid bawa agenda ‘jual kerusi’ sebagai cara untuk Umno berkuasa semula.
Justeru, dalam ucapannya muncul agenda kelima. Bahawa, Umno akan bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan. Dalam keadaan sekarang, Zahid sedang menghantar isyarat kepada semua kepimpinan Umno supaya banyak berdoa dan berharap, perpecahan akan segera terjadi dalam PH.
Politik Pateh Karma Wijaya
Pada Zahid, watak Umno sekarang ialah bertindak menjadi Pateh Karma Wijaya dalam sejarah Melaka. Mainkanlah apa pun peranan, asal ada cara memperbalahkan Hang Tuah dengan Sultan. Malah, bonusnya kalau Hang Tuah dan Hang Jebat saling bertikam.
Hanya dengan agenda menghuru-harakan seluruh Melaka, barulah selamat kuasa Pateh Karma Wijaya.
Kita harap doa Zahid dan mimpi pemimpin sekutu Presiden dalam Umno tidak melilau seteruk itu. Renung sejarahlah sikit. Antara punca Melaka hancur ialah kerana wujudnya orang macam Pateh Karma Wijaya.
Zahid dan Umno tidak perlu kemaruk kuasa dan gila politik, hingga mengimpikan sejarah enam abad lalu berulang lagi. Setakat Umno nak jadi kerajaan, dan Zahid kemaruk hendak menjadi TPM tidak perlu sejarah robohnya empayar Melayu Islam terbesar di Nusantara berulang lagi.
Elok Zahid jangan berperangai macam Pateh Karma Wijaya.
Zahid dan Umno tidak perlu banyak sangat bermimpi bahawa Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkelahi. Jangan terlalu percaya, selepas PRK Port Dickson, Anwar akan mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan PM.
Orang anggap Zahid kejar jawatan peribadi.
Jangan percaya sangat, kerana perselisihan Anwar dan Dr Mahathir, sekelip mata PH akan terbarai. Jangan Umno sibuk menghitung kerusi dengan berpegang pada teori: DAP, Amanah dan Warisan akan menyokong Dr M. Ini menyebabkan Anwar dan PKR perlu mendapatkan sokongan Umno untuk membentuk kerajaan baharu.
Alahai. Apa punya dahsyat mimpi jenis ini. Sama dahsyat macam budak kecil mimpikan Frankenstein. PAU 2018 dicatur dengan mimpi ini. Ahli dan pemimpin bawahan diminta menyerahkan kepercayaan pada Zahid dan rakan-rakan atasan untuk mengatur agenda. Konon, asal Umno kembali berkuasa.
Justeru, Umno diminta bersedia dengan inai dijari. Tidak lama lagi, apabila Anwar dan Dr Mahathir bertelagah, Umno akan dipinang ke Putrajaya.
Klimaks mimpi ini: Anwar jadi PM dan Zahid timbalannya.
Mimpi bangang ini yang menyebabkan Pemuda Umno naik angin. Umno kini dah jadi parti kunyit, kata Pemuda Kedah. Sebab kemaruk kuasa, hingga sanggup main pintu belakang untuk jadi kerajaan.
Sebenarnya agenda Zahid bukan kisah perjuangan Umno. Ia kisah seorang pemimpin parti yang kemaruk mahu menjadi kembali bergelar TPM. Justeru, Zahid terdesak untuk menanam mimpi palsu demi mendesak parti untuk mendengar cakapnya.
Ringkasnya, Zahid kini menjadikan Umno dan PAU 2018 sebagai kakasan peribadi, untuk memastikan dirinya kembali ke puncak kuasa. Percaturan politik Zahid tiada kaitan dengan kepentingan Islam atau Melayu. Tiada kaitan dengan agenda ekonomi dan pendidikan bangsa Melayu.
Itu agenda Zahid untuk kepentingan peribadinya sahaja! – 30 September, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Dr ShahAli Imram Ali · Ulasan