BEKAS menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad berkata undian untuk dirinya sendiri meletakkan beliau di hadapan dalam saingan pilihan raya kecil Port Dickson.
Calon bebas yang juga bekas orang kuat Umno itu berkata, sebagai orang tempatan, dirinya mempunyai kelebihan dalam persaingan itu, termasuk bakal presiden PKR Anwar Ibrahim, yang merupakan calon bidan terjun sedankan beliau adalah pengundi berdaftar di kawasan parlimen.
“Kekurangan mereka adalah tidak boleh mengundi untuk diri sendiri. Sehingga hari ini, saya sudah mendaoat satu undi, undi saya sendiri kerana saya mengundi di sini.
“Ini tidak termasuk undi ahli keluarga saya. Saya sudah pun mendahului setakat hari ini,” kata Isa kepada The Malaysian Insight dalam temubual di Port Dickson.
Bekas ketua Umno bahagian Telok Kemang itu berkata, beliau kecewa dengan bekas partinya kerana tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu.
“Saya menjangkakan untuk diletakkan sebagai calon, tetapi Umno buat sebaliknya. Bukan nak kata saya nak sangat, tetapi nama saya sudah beberapa kali naik.
“Saya tunggu oarti untuk tentukan mengenai boikot. andangan saya ialah kita mesti bertanding. Itu sebabnya saya tinggalkan Umno. Jika tidak saya akan dipecat,” kata Isa.

Isa yang menjadi ahli parti itu sejak 1972 berkata, beliau “terkilan” kerana terpaksa meninggalkan parti namun ia perlu dilakukan demi kebaikan Negeri Sembilan.
“Ini tidak akan mengubah apa-apa. Ia tidak memberi kesan kepada negeri atau negara. Tetapi parti perlu bertanding untuk menungjukkan kita benar-benar pembangkang yang bagus,” kata Isa.
Walaupun beliau telah keluar Umno, bekas ahli Parlimen Jempol itu berkata beliau memiliki jentera untuk menyokongnya berkempen.
“Jentera akan ada di sana. Ramai rakan yang akan bantu, walaupun dari Umno,” katanya.
Isa akan turun dari pintu ke pintu untuk bertemun pengundinya.
Beliau menentang Anwar, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar yang merupakan pesara tentera, dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Isa merupakan bekas Adun Linggi selama lima penggal, beliau juga turut memenangi kerusi Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 2009. Kedua-dua kerusi itu dalam kawasan Parlimen Port Dickson. – 30 September, 2018
Komen