Bodoh kalau tidak guna kuasa imigresen, kata Musa Aman


Jason Santos

Ketua Menteri Sabah Musa Aman (kanan) bersama tiga timbalan ketua menteri Sabah Pairin Kitingan, Yahya Hussin dan Raymond Tan. Musa berkata kerajaan bodoh kalau tidak guna kuasa imigresen untuk sekat mereka yang tidak dikehendaki ke negeri ini.– Gambar The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

SABAH akan menyekat sesiapa sahaja yang mengancam keselamatan awam daripada masuk ke negeri itu, kata Ketua Menteri Musa Aman, mempertahankan tindakan pentadbirannya mengenakan sekatan perjalanan selama ini.

Sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri ada kuasa untuk berbuat demikian, Musa berkata hanya kerajaan yang bodoh sahaja yang akan membuka pintu kepada “orang tidak berguna” yang ingin memporak-perandakan negeri itu. 

“Kita ada kuasa (melarang kemasukan individu berniat jahat) maka kita menggunakan kuasa ini. Untuk apa kita mahu (membenarkan) orang tidak berguna (masuk ke Sabah) kalau (ada niat buruk) yang boleh memecah-belahkan, merosakkan dan meracuni fikiran rakyat. 

“Untuk apa? Ini bukan cara kita.

“Kerajaan bodoh sahaja membiarkan penyamun, penyangak datang ke tempat (negeri) mereka,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2017 pada persidangan DUN Sabah, hari ini.

Musa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Christina Liew (PKR-Api Api), yang menggesa kerajaan negeri menarik balik larangan yang dikenakan terhadap beberapa anggota Parlimen dari Semenanjung ke Sabah seperti Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua. 

Musa turut menolak usul terhadap dua pemimpin pembangkang itu yang dibuat pada 26 November tahun lepas di dewan negeri bersabit pertemuan kontroversi mereka dengan anak perempuan Sulu “Sultan” Jamalul Kiram III, Jacel Kiram. 

Musa juga membantah hujah Liew bahawa Tian Chua telah dibebaskan daripada tuduhan menghasut berhubung dengan pencerobohan Lahad Datu pada 2 Mac tahun lepas.

Usul terhadap Nurul Izzah dan Tian Chua itu dibuat selepas gambar kontroversi mereka bersama Jacel Kiram tersebar. 

Musa juga membantah hujah Liew bahawa Tian Chua telah dibebaskan dari tuduhan menghasut berhubung pencerobohan Lahad Datu pada 2 Mac tahun lepas. 

“Saya tidak sekat semua orang. Saya tidak melarang (Penasihat DAP) Lim Kit Siang (masuk ke Sabah); saya tidak melarang (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng; saya tidak melarang (Presiden PKR Datuk Seri Dr) Wan Azizah Wan Ismail. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen