Gagal tangani isu 1MDB punca BN tewas di Negeri Sembilan, kata Isa


Kamles Kumar Mohd Farhan Darwis

Calon bebas di PRK Port Dickson, Isa Samad berkata Umno gagal menguruskan isu 1MDB pada PRU14 hingga menyebabkan mereka hilang Negeri Sembilan kepada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 September, 2018.

ISA Samad berkata beliau berjaya mengekalkan kuasa di Negeri Sembilan walaupun ketika berdepan tahun-tahun gerakan Reformasi, dan menyelar bekas partinya Umno kerana gagal mengendalikan skandal 1MDB hingga menyebabkan kekalahan di negeri itu pada PRU14.

Ketika PRU pada 1999, iaitu kemuncak era Reformasi yang tercetus daripada pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, Isa yang juga bekas menteri besar berkata Umno masih dapat kekal memegang Negeri Sembilan.

“Anwar sangat kuat masa itu, masa zaman Reformasi. Tetapi kita tetap menang.

“Pada masa itu, apa saya buat ketika Anwar dipecat ialah saya sudah pun jelaskan kepada rakyat tempatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas pemimpin Umno itu berkata beliau kecewa dengan parti.

“Ia sangat menyedihkan, saya sangat sedih kami tewas pertahankan negeri ini,” katanya.

Bekas Adun Linggi selama lima penggal itu pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, antara 1982 dan 2004.

Beliau berkata kepimpinan parti kekurangan hala tuju hingga Umno gagal menang di Negeri Sembilan pada 9 Mei.

“Strategi kita salah dan mungkin calon juga salah. Ketika pilihan raya, yang paling penting ialah anda tahu cara menguruskan isu. Kami gagal beri penjelasan tentang 1MDB,” katanya.

Tambahan lagi dengan kempen perdana menteri sekarang, Dr Mahathir Mohamad membawa kepada kekalahan teruk pada Barisan Nasional (BN), kata Isa yang juga bekas pengerusi Felda.

“Dr Mahathir berterusan bercakap tentang isu 1MDB, dari hari pertama hingga hari mengundi. Kita (Umno) gagal menjelaskan isu itu dengan baik.”

Isa bertanding di PRK Port Dickson menentang bakal presiden PKR Anwar, pesara tentera udara Nazari Mokhtar daripada PAS dan empat lagi calon bebas termasuk bekas pegawai Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen