Mantapkan parti sendiri, jangan harap parti lain, kata perwakilan Umno


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim

Perwakilan Umno berkata parti perlu meneruskan agenda mengukuhkan kembali parti dan bukannya berharap jadi kuat semula hanya melalui kerjasama dengan parti politik lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 September, 2018.

UMNO mesti meneruskan agenda mengukuhkan kembali parti dan bukannya berharap jadi kuat semula hanya melalui kerjasama dengan parti politik lain, kata perwakilan di perhimpunan agungnya.

Umno juga harus ada cara lain untuk meraih semula sokongan masyarakat terutamanya bukan Melayu, kata pimpinan parti pelbagai peringkat dalam reaksi awal mereka selepas ucapan dasar Presiden Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani berharap Umno tidak akan bergantung kepada kekuatan parti lain sebaliknya memulihkan dirinya sendiri, setelah tersingkir tidak lagi jadi kerajaan selepas kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Ucapan (presiden) jelas… 21 langkah takkan tak jelas lagi, kan? Tetapi akhirnya kita tak boleh bergantung pada orang (untuk kuat semula).

“Kita kena bergantung pada parti sendiri. Itu kesimpulannya. Kita bekerja sendirilah dalam parti jangan mengharapkan orang. Itulah harapan saya,” kata bekas menteri itu kepada wartawan selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno 2018 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Zahid dalam ucapannya antara lain berkata Barisan Nasional (BN) akan dijenamakan semula sebaik sahaja rundingan antara parti komponennya selesai.

“Sebagai pengerusi BN, saya mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat.

“Suka saya mengumumkan, BN akan dijenamakan semula sebaik sahaja perundingan dengan rakan-rakan komponen sedia ada selesai dan dimuktamadkan,” katanya.

Zahid juga menyentuh tentang muafakat dengan parti lain sebagai pembangkang kerana “Umno tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan”.

“Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama,” katanya.

Namun dalam satu wawancara menjelang Perhimpunan Agung Umno ini, Zahid dipetik berkata Umno berharap dapat menubuhkan kerajaan perpaduan “sebelum atau selepas Anwar Ibrahim jadi perdana menteri”.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani berharap Umno tidak akan bergantung kepada kekuatan parti lain sebaliknya memulihkan dirinya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2018.

Zahid sebelum ini berkata beliau mendapat mandat daripada wakil rakyat Umno untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.

Umno sebelum ini secara terbuka cuba membuka jalan menjalin kerjasama dengan PAS bermula dengan pilihan raya kecil di Selangor dan kemudian hadir pada muktamar parti Islam itu di Terengganu, dua minggu lalu.

Malam tadi, pemimpin PAS diketuai timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man juga hadir mendengar ucapan dasar Zahid. Semalam juga, pemimpin sayap Pemuda dan Wanita PAS juga hadir pada perhimpunan sayap Umno.

Sementara itu, seorang perwakilan Wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Salmiyah, 67, mengaku bimbang dengan hala tuju Umno selepas ini, “sibuk hendak bergabung tapi tak kukuhkan parti sendiri”.

“Kita takut kadang-kadang syok sendiri kata ada sokongan tapi hakikatnya hanya PAS nak kerjasama dengan kita,” kata veteran Umno dari Pulau Pinang itu.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Putrajaya Rahmah Hitam, 58, mengakui semakin sukar untuk Umno mendapatkan undi bukan Melayu selepas kalau PRU14 yang lalu.

“Kita perlu bergabung untuk mengukuhkan parti. Untuk dapatkan undi bukan Melayu sukar, sebenarnya ambil masa.

“Persepsi terhadap Umno perlu dipulihkan. Imej perlu bersih supaya mereka terima kita semula pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berbeza pandangan apabila yakin dua parti Melayu Islam itu akan menjadi penentu atau “kingmaker” dalam kerajaan perpaduan.

“Ramai nampak akan ada satu ikatan kerjasama baru yang akan berlaku yang mana inilah PAS dan Umno akan jadi kingmaker,” katanya, yang juga dikenali dengan nama Papagomo.

Namun pensyarah politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir skeptikal Umno boleh membentuk kerjasama dengan mana-mana parti lain kerana persepsi terhadap parti itu sekarang masih buruk.

“Yang nampak (hendak bekerjasama) hanya PAS, tapi ada sebahagian tidak sokong kerana ideologi berbeza. Umno juga dilihat parti bermasalah besar, dan tidak mungkin dapat bangkit dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau berkata satu-satunya cara untuk Umno mula memulihkan imejnya ialah dengan mengakui kesilapan lalu.

“Perlu ada keberanian untuk cakap benar, usaha sebaik mungkin jadi pembangkang yang betul-betul kritikal bertunjangkan fakta,” katanya. – 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen