Mahu jadi pembangkang atau bentuk kerajaan perpaduan, tanya KJ


Zaim Ibrahim Nabihah Hamid

Reaksi bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mendengar ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 September, 2018.

UCAPAN dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak memberikan gambaran yang jelas hala tuju parti Melayu itu, mahu jadi pembangkang yang kuat atau mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata ucapan presiden tidak memberi fokus hala tuju yang diharapkan oleh parti, selepas Umno kalah PRU14 dan kini jadi pembangkang.

“Hari ini beliau (presiden Umno) mengatakan kita mahu melawan PH tetapi kemudian beliau mengeluarkan kenyataan mahu membentuk kerajaan perpaduan.

“Kita perlu jelas jika kita memimpin parti. Tidak boleh berkata seolah-olah mahu menjalin kerjasama dengan PH tetapi hari ini kata nak lawan, zalim lah,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, malam tadi.

Zahid dalam ucapan dasarnya malam tadi membentangkan tujuh teras dengan 21 langkah untuk Umno berkuasa semula, parti yang beliau sifatkan “bukan saja pembangkang tetapi kerajaan menanti”.

“Hala tuju Umno sekarang adalah untuk menang dan kembali berkuasa. Inilah hala tuju kita!

“Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah,” kata Zahid.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar malam tadi membentangkan tujuh teras dengan 21 langkah untuk Umno berkuasa semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 September, 2018.

Dalam satu wawancara menjelang Perhimpunan Agung Umno ini, Zahid dipetik berkata Umno berharap dapat menubuhkan kerajaan perpaduan “sebelum atau selepas Anwar Ibrahim jadi perdana menteri”.

Beliau berkata demikian menjawab soalan apakah langkah Umno dan Barisan Nasional tidak bertanding Pilihan Raya Kecil Port Dickson ada kaitan dengan usahanya mahu bekerjasama dengan parti komponen dalam PH.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan bagaimanapun melihat tidak ada apa yang tidak jelas tentang ucapan dasar Zahid malam tadi kerana dalam politik apa saja kemungkinan boleh berlaku.

“Kita mahu menjadi pembangkang yang kritikal, (tetapi) kenapa perlu kita tolak jika ditawarkan kerajaan perpaduan?” katanya.

Mohamad yang juga ketua Umno Bahagian Rembau yang Khairy adalah timbalannya berkata, ucapan Zahid itu jelas tetapi bergantung pada yang mendengarnya sama ada memahami dasarnya atau tidak.

“Kita ada dua fokus utama. Satu, untuk mengukuhkan parti dan kedua, apa strategi kita untuk menang PRU15,” katanya.

Pergerakan Pemuda Umno pada persidangannya semalam menolak sebarang usaha Umno mahu menubuhkan kerajaan perpaduan bagi mendapatkan semula tampuk pemerintahan dalam kerajaan.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan, penubuhan kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti dalam kerajaan adalah seperti menjual maruah parti sendiri.

Perhimpunan Agung Umno diteruskan hari ini dengan perbahasan usul ucapan dasar presiden, sebelum sesi penggulungan petang nanti. – 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen