ISA SAMAD, yang bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson, yakin isu skandal membabitkan Felda, syarikat yang pernah beliau terajui, tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepadanya dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen itu.
Bekas pengerusi Felda yang pernah disiasat pihak berkuasa itu berkata, isu yang dibangkitkan mengenai agensi berkenaan adalah semata-mata berunsur politik.
Isu Felda yang dibangkitkan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan menjejaskan rekod prestasinya sebagai wakil rakyat pengundi di kawasan itu selama 40 tahun sebelum ini, tambahnya.
“Isu Felda tidak akan memberikan kesan (kepada kempen). Felda juga tidak ada banyak masalah. Pembangkang bangkitkan (isu Felda) ketika PRU14 kerana Felda ada pengundi yang besar.
“Mereka sengaja bangkitkan isu. Isu kepada saya hanyalah berkaitan politik, dan pengundi di sini tidak terkesan dengan isu Felda,” kata Isa, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Port Dickson.
Semasa mempengerusikan Felda sehingga Januari 2017, Isa dikaitkan dengan beberapa kontroversi melibatkan soal pelaburan syarikat itu dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Saya dipanggil beri keterangan kepada SPRM tapi tiada kes pun,” katanya lagi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan antara 1982 hingga 2004 itu pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama lima penggal serta menang PRK DUN Bagan Pinang pada 2009. Linggi dan Bagan Pinang adalah dua daripada lima kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Port Dickson.
Isa melawan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, yang juga bekas presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).
Mereka disertai empat calon bebas lain iaitu Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh pengundian.
Berikut adalah petikan daripada wawancara bersama Isa.
S: Mengapa memilih PRK Port Dickson?
J: Saya buat keputusan selepas kerusi. Inilah peluang yang ada, saya ambil kesempatan bila mantan itu letak jawatan saya kata ini peluang yang baik.
S: Marah dengan apa berlaku di Port Dickson?
J: Sepatutnya ia tidak berlaku, terlalu awal, baru empat bulan. Tapi saya ingat mungkin ada sebab lain. Tapi saya rasa tak patut buat begitu terlalu awal, nampak seperti tak serius dan orang tak fikir ada PRK sebab orang berhenti 4 bulan, kalau meninggal lainlah. Tapi ia berlaku, okaylah.
S: Sentimen pengundi?
J: Saya percaya semangat sokongan lama masih ada walaupun sebahagian mungkin tidak begitu terang kerana sebahagiannya ahli dan pemimpin Umno, sudah pasti mereka serba salah, paling tidak pun pada 13 Oktober mereka undi saya. Sokongan masih ada tapi saya kena lipat gandakan usaha saya kerja di sini.

S: Adakah Tan Sri dibayar sesiapa untuk bertanding?
J: Saya kalau ada orang nak sponsor mahal dia bayar. Tidak ada, ini politik, pihak lawan akan kata macam-macam.
S: Adakah Tan Sri akan kembali kepada Umno atau parti politik lain?
J: Saya belum fikir lagi, saya nak menang dahulu sebelum buat tindakan lanjut. Daripada orang lucutkan saya lebih baik saya lucut sendiri, macam baju, daripada orang lucutkan baju, lebih baik saya buka baju sendiri.
S: Tentera membentuk 9% pengundi, adakah Tan Sri yakin mereka akan menyokong?
J: Mereka sentiasa menyokong, tetapi saya masih harap mereka akan masih menyokong, tetapi kita tidak boleh akses kepada mereka, saya harap mereka baca surat khabar dan media sosial. – 30 September, 2018.
Komen