Golongan minoriti tidak boleh paksa majoriti, kata Anwar


Looi Sue-Chern

Calon PRK Port Dickson Anwar Ibrahim berkata golongan LGBT dan 'super liberal' tidak boleh memaksa masyarakat menerima nilai mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 September, 2018.

ANWAR Ibrahim memberitahu komuniti Sikh yang golongan majoriti tidak boleh memaksa kehendak dan pandangan mereka terhadap minoriti, begitu juga sebaliknya semasa kempen pertamanya di Port Dickson petang tadi.

“Tiada siapa dapat menghentikan realiti yang ini adalah negara berbilang kaum, multi budaya dan agama.

“Islam adalah agama Persekutuan tetapi perlindungan diberikan kepada agama lain,” katanya ketika mengadakan pertemuan minum petang dengan masyarakat di sebuah gurdwara di Sri Tanjung.

Calon Pakatan Harapan itu berkata sikap saling memahami dan menghormati terhadap perbezaan antara satu sama lain diperlukan di negara ini.

“Kadang-kala sukar untuk memahami tuntutan golongan muda, atau yang dipengaruhi oleh Barat, golongan anti-agama sekular. Mereka tidak boleh memaksakan nilai dan pemahaman mereka kepada kita.”

Anwar memberitahu pada pertemuan itu beliau baru-baru ini berdepan masa sukar apabila beliau menangani isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan “super liberal”.

Beliau mengakui dirinya seorang yang liberal dan toleran, selepas mempelajari tradisi liberal, tetapi tidak bersetuju tindakan beberapa orang yang cuba memaksa kehendak minoriti terhadap majoriti.

“Perkahwinan sesama jenis, contohnya, tidak boleh dibenarkan di Malaysia,” katanya, sambil menambah pelbagai agama di negara ini, walaupun berbeza tetapi mempunyai nilai yang sama mengenai hal tersebut.

Turut hadir di gurdwara ialah Naib Presiden PKR dan Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah, dan wakil masyarakat Hindu, Bahai, Islam dan Buddha.

Anwar, yang merupakan bakal perdana menteri seterusnya, bertanding di Port Dickson dalam pertarungan tujuh penjuru untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Calon lain ialah Mohd Nazari Mokhtar, calon Bebas Isa Samad, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen.

Anwar berkata beliau telah melawat banyak rumah ibadat bukan Islam dan cuba menghargai perbezaan agama lain, yang menyebabkannya menerima sokongan dan cacian.

“Ia boleh menjejaskan undi saya di kalangan orang Islam yang konservatif. Tetapi di dalam Islam, kita dilarang daripada tidak menghormati agama dan budaya lain.”

Beliau juga memberitahu komuniti Sikh di Port Dickson yang walaupun jumlah mereka kecil, beliau ingin bertemu mereka untuk memperlihatkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan kepada negara.

Calon PRK Port Dickson Anwar Ibrahim semasa hari penamaan calon hari ini. Beliau memulakan kempen pertamanya dengan pertemuan bersama kaum Sikh di sri Tanjung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 September, 2018.

Dalam ucapannya, Anwar tidak banyak berjanji, semasa menegaskan beliau tidak akan menggunakan mana-mana jentera kerajaan untuk membantu kempennya.

Anwar memberitahu para pengundi beliau mempunyai rekod yang panjang dan akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat di Port Dickson, meningkatkan sektor pelancongan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan, dan membantu rakyat.

“Apa yang saya ingin tawarkan adalah menjadi ahli Parlimen Port Dickson supaya saya dapat membantu pembaharuan Parlimen dan mempersiapkan diri saya, insha Allah, apabila saya mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Saya memerlukan sokongan anda untuk merealisasikan perubahan ini,” katanya, sambil menegaskan beliau tidak mahu mengambil alih tugas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekarang.

“Ia adalah tugas kita untuk memastikan Dr Mahathir dapat melakukan tugasnya dengan baik, supaya beliau boleh membetulkan keadaan…ya Allah, ia sukar dipercayai.

“Saya adalah menteri kewangan selama lapan tahun tetapi ketika (menteri kewangan semasa Lim) Guan Eng memberi taklimat kepada saya tentang keadaan kewangan kita, saya sangat terkejut melihat sejauh mana rompakan dan rampasan yang berlaku di depan mata kita.

“Dr Mahathir memerlukan semua sokongan yang ada untuk membuat perubahan yang diperlukan dan membawa kita kembali ke landasan.”

Hari mengundi untuk Port Dickson adalah pada 13 Oktober. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen