BEDAH siasat ke atas bangkai gajah pigmi betina yang ditemui dengan kesan tembakan di hutan simpan Malua Sabah dipercayai dibunuh seminggu lalu, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.
Terdapat kesan tembakan di bahagian kepala, perut dan pinggangnya. Sebahagian daripada peluru penabur menembusi organ utama haiwan itu.
“Gajah itu mungkin ditembak pemburu atau mereka yang marah kerana haiwan itu merosakkan tanaman kelapa sawit mereka,” katanya.
Haiwan itu dianggarkan berusia 10 tahun dan berukuran 2.4 meter tinggi, kata Tuuga dan menambah terdapat sekumpulan gajah berdekatan ketika pemeriksaan dibuat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Masidi Manjun meluahkan kekecewaannya terhadap pembunuhan gajah itu dan berkata ia menandakan terdapat konflik hairan-manusia kerana kurangnya kesedaran tentang konservasi dalam kalangan rakyat Sabah.
Tuuga berkata, gajah betina itu ditemui mati di kawasan ladang milik Golden Apex Plantation di Kinabatangan, kira-kira 100 meter daripada sempadan hutan simpan Malua.
“Bangkai gajah itu ditemui pekerja ladang sekitar jam 7 pagi pada 4 Ogos lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Ketika itu ia masih hidup dan hanya terlantar di tepi jalan.”
Pekerja itu kemudiannya memaklumkan kepada pengurus ladang pada hari berikutnya, namun pada masa itu ia sudah mati. – 7 Ogos, 2017.
Komen