AKAR umbi pelbagai lapisan menolak cadangan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan identiti Melayu dijadikan sebagai kerakyatan Malaysia dikaji semula.
Mereka berpendapat jika ia dilaksanakan akan mengganggu hak dan keistimewaan orang Melayu yang tinggal di Tanah Melayu sejak beratus tahun dahulu.
Malah, isu tiada kesepaduan disebabkan berlainan identiti bangsa juga tidak benar kerana bagi mereka kehidupan aman yang diperoleh sekarang adalah bukti negara kaya dengan perpaduan dan keharmonian.
Rosmah Ali, 62 perwakilan Melaka bimbang keistimewaan terhadap orang Melayu akan pudar sekiranya identiti itu diselaraskan.
“Kita tidak setuju, kami orang Melayu dan ini tanah kita. Kita tidak mahu orang asing diterima. Nanti akan bertambah celaru. Kita orang Melayu tetap Melayu,” kata AJK Wanita Bahagian Tangga Batu itu.
Turut bersetuju dengannya adalah wakil sayap Puteridari Sepanggar, Sabah yang berkata negara terkenal dengan hidup harmoni berbilang kaum.
“Saya kurang bersetuju kerana keistimewaan kita (Melayu). Bagi kami dari Sabah, tidak bercampur kaum kerana kami hidup berbilang kaum. Ada juga Kristian tetapi masih bersama.
“Kita bukan mahu rasis tetapi kalau mahu kaum Cina dan India (jadi Melayu) itu tidak boleh,” kata Hafizah Yakubah, 29, yang merupakan penolong setiausaha Puteri Umno Sepanggar kepada The Malaysian Insight.

Menurut Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju Amir Hakim Ahmad Dahlan, perkara itu mustahil untuk dilaksanakan.
“Bagi saya, selama ini pun Umno berjuang untuk Melayu tetapi masih berjuang untuk bangsa lain. Saya rasa majoriti tidak akan dapat menerima kaum lain sebagai Melayu.
“Kita kekal macam biasa, Melayu dengan identitinya, Cina, India, tetapi kita kena hormat satu sama lain. Apabila saling hormat menghormati, kita tidak perlu berubah. Tak perlu jadi orang lain,” katanya.
Tengku Razaleigh sebelum ini menyentuh kembali gagasan yang pernah timbul 10 tahun sebelum kemerdekaan negara.
Katanya, gagasan agar kaum Cina dan India digolongkan sebagai Melayu boleh dipertimbangkan sebagai usaha menyatupadukan rakyat.
Gagasan itu pernah diusul oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) hasil pemikiran pemimpinnya Dr Burhanuddin Helmy semasa penentangan terhadap Malayan Union pada 1946. – 29 September, 2018.
Komen