'Umno pupus tanpa Wanita', buat perwakilan sebak


Nabihah Hamid

Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur berlangsung hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

SUASANA pilu menyelubungi Dewan Merdeka apabila ahli Md Alwi Che Ahmad mengimbas semula pengorbanan dan jasa yang ditabur Wanita Umno kepada parti tersebut.

Beberapa orang perwakilan Wanita juga dilihat menitiskan air mata apabila pemidato tersohor itu mengumpamakan pengorbanan sayap parti tersebut seperti jasa ibu kandungnya sendiri.

Beliau membangkitkan perkara itu untuk membangkitkan semula semangat ahli parti berkenaan, yang gagal mempertahankan Putrajaya apabila kalah pilihan raya umum 9 Mei.

Katanya, Wanita juga memberi kekuatan kepada parti kerana seperti juga manusia, lelaki tidak akan sempurna tanpa wanita.

“Kekuatan lelaki lebih kuat daripada perempuan tetapi kekuatan lelaki itu tidak akan sempurna kalau tidak ada seorang wanita

“Dan Umno ini sebenarnya kalau tak ada Wanita boleh dikatakan Umno akan pupus, itu hakikat yang kita hadapi.

“Sebab itu daripada sayap ia menjadi tulang belakang dan mungkin selepas ini bukan jadi tulang belakang tetapi badan kepada Umno itu sendiri,” katanya.

Para perwakilan dilihat menangis teresak-esak apabila Adun Kok Lanas itu membacakan doa sebelum menutup ucapan dalam persidangan sayap Wanita. 

Katanya, Wanita juga seolah-olah nadi kepada parti Melayu selain memberi contoh pengorbanan ibunya, untuk membesarkan beliau menjadi manusia berguna. 

“Usah meratapi kekalahan, kembali ke pengkalan, ibu-ibu sekalian. Jaga anak-anak, diri masyarakat, bersama masyarakat biar bersama kita, kekuatan kita ada pada wanita. 

“Wanita boleh membantu kekuatan ini, wanitalah tempat kita bergantung, sekarang orang zalimi kita, orang hina Melayu,” katanya.

Ahli majlis kerja tertinggi yang juga ketua penerangan Umno Kelantan itu berucap di hadapan lebih 900 perwakilan sayap Wanita dari seluruh negara. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen