Najib hadir himpunan Umno malam ini, kata anak


Chan Kok Leong

NAJIB Razak, presiden pertama Umno yang kehilangan kuasa Persekutuan, akan menghadiri ucapan dasar penggantinya Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini, kata anaknya.

“Beliau akan datang,” kata Mohd Nizar semasa di luar Perhimpunan Agung Umno  (PAU) hari ini.

 Nizar, yang merupakan ketua Pemuda Umno Pekan, berkata Najib masih merupakan sebahagian daripada Umno.

“Beliau masih sebahagian daripada Umno. Apa sahaja yang dikatakan dan berlaku, beliau banyak berjasa kepada parti.

“Perbicaraan masih dijalankan dan beliau belum dibuktikan betul atau salah. Mereka (perwakilan Umno) harus ingat jasanya dan apa yang telah dilakukannya untuk parti,” kata anak sulung Najib bersama isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah.

Beliau berkata Najib bagaimanapun tidak akan mengganggu kepimpinan semasa.

“Saya tidak fikir beliau akan mengganggu kepimpinan semasa. Saya percaya beliau akan menghormatinya dan terus memberi sokongan,” kata akauntan berusia 40 tahun itu.

Ini adalah perhimpunan Umno pertama yang dihadiri Najib sejak perletakan jawatannya sebagai presiden tiga hari selepas parti itu kehilangan kuasa pada 12 Mei.

Beliau didakwa dengan lebih 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Tuduhan itu berkaitan dua pemindahan wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) kepada akaun peribadi Najib pada 2013.

Zahid akan menyampaikan ucapan dasar pertamanya sebagai presiden Umno pada pukul 8 malam ini. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen