CALON bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Isa Samad mengharapkan ahli Umno akan menyokongnya walaupun beliau tidak bertanding mewakili parti itu.
“Ini kampung saya, kerusi itu kosong dan Umno tidak mahu bertanding, jadi saya ambil peluang ini untuk bertanding sebagai orang Port Dickson.
“Saya rasa ada ahli Umno akan sokong saya dan orang lain juga, orang biasa, bukan ahli parti juga akan sokong,” kata Isa kepada pemberita selepas penamaan calon di Port Dickson hari ini.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun daripada 1982 hingga 2004 yang disukai ramai itu berkata, beliau mengambil keputusan bertanding selepas Umno mengambil keputusan untuk memboikot PRK itu.
Keputusan itu juga diambilnya memandangkan sebelum ini tidak berpeluang bertanding di kerusi itu, walaupun menerima jemputan pemimpin tempatan, kata Isa.
“Dia punya isu ialah kerusi ni kosong, bila kosong dia ada PRK dan Umno tak letak calon.
“Jadi saya ambil kesempatan sebab memang lama juga pemimpin tempatan ingin saya tanding Port Dickson, tapi peluang tu tidak ada…jadi hari ni ada peluang, saya ambil lah,” kata Isa lagi.
Isa adalah bekas ketua Umno Bahagian Teluk Kemang. Dikenali ramai dengan gelaran “Budak PD”, Isa juga adalah bekas ahli Parlimen Jempol dan bekas Adun Linggi.
Beliau pernah menang kerusi DUN Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 2009. Kedua-dua kerusi itu berada dalam kawasan Parlimen Port Dickson.

Isa adalah antara lima calon bebas yang akan bertanding di PRK kerusi Parlimen Port Dickson.
Turut bertanding atas tiket bebas adalah Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.
Pakatan Harapan meletakkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.
PAS pula meletakkan Mohd Nazari Mokhtar, yang juga bekas Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 13 Oktober depan. – 29 September, 2018.
Komen