SAIFUL Bukhari Azlan berkata bagus rasanya dapat berjabat tangan dengan bekas ketuanya, Anwar Ibrahim pagi tadi.
Calon bebas untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu berkata kes liwat itu sudah lama berlalu dan kedua-dua mereka sudah cukup matang untuk menegur satu sama lain.
“Ia sudah lama (sejak kami bertemu). Bagus rasanya. Kami sudah cukup matang dalam era demokratik baharu ini; kami hanya kata ‘hi’,” kata Saiful selepas rasmi dinamakan sebagai calon PRK itu.
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
Saiful turut berkata beliau tidak akan menggunakan pengalaman pahitnya dengan Anwar sebagai modal kempen.
“Naratif saya bukan tentang kes itu. Saya mahu bergerak ke depan. Saya tak mahu cakap tentang perkara lepas.
“Keputusan saya bertanding bukan balas dendam bekas majikan. Ia bukan soal balas dendam,” katanya.
Saiful pada 2008 mendakwa diliwat Anwar menyebabkannya dipenjara.
Anwar sentiasa menegaskan beliau jadi mangsa konspirasi politik dan tidak bersalah.
Pada Mei, selepas Pakatan Harapan menang Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan penuh kepada Anwar.

PRK Port Dickson dijadualkan berlaku pada 13 Oktober selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya untuk membolehkan Anwar bertanding kembali ke Parlimen.
Tindakan itu, bagaimanapun tidak dipersetujui Saiful.
Katanya, tidak boleh diterima Anwar sanggup merancang pilihan raya diadakan hanya semata-mata hendak memenuhi hasratnya jadi perdana menteri.
“Kita perlukan kerajaan yang stabil. Kita tak boleh ada ketidaktentuan politik. Seseorang yang rancang pilihan raya untuk jadi perdana menteri tidak bagus,” katanya. – 29 September, 2018.
Komen