WAKIL Muslimat PAS gembira kerana dapat bekerjasama dengan Umno serta Barisan Nasional (BN) selepas parti berkenaan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Wanita PAS Nuridah Mohd Salleh menyifatkannya sebagai satu hikmah yang membolehkan kedua-dua parti bekerjasama atas isu kepentingan agama dan negara.
“Ini pertama kali muslimat PAS menghadiri persidangan ini dan kita ucapkan terima kasih Datuk Noraini (ketua wanita Umno) dan ahli jawatankuasanya atas jemputan.
“Mungkin ini antara hikmah daripada kekalahan Umno-BN selepas sekian lama memimpin negara dan ini hikmahnya, mudah-mudahan kepentingan agama dan rakyat Malaysia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Nuridah.
Jelas Nuridah, kehadiran PAS di perhimpunan Umno hanya atas dasar permuafakatan sebagai blok pembangkang.
“Kerjasama Umno-PAS ini kita kata baru permuafakatan pembangkang, baru setakat itu sajalah, tidak ada lagi lebih lanjut, kerana kita baru sahaja.
“Bagi kita apa sahaja yang baik untuk kepentingan agama dan rakyat Malaysia, kita akan bersama-sama seperti apa yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS sebenarnya,” katanya kepada pemberita.
Dalam sidang media itu beliau ditanya mengenai kesediaan PAS untuk bergabung dengan Umno.
Noraini pula pada ucapan awal berkata kerjasama Umno – PAS wajar dilihat untuk menyatukan umat Islam Melayu.
“Sekali gus menjadi suara semak dan imbang dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang di negara ini.
“Kerjasama ini pastinya mempunyai cabaran. Namun, diharap ia mampu menjadi permuafakatan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini,” kata ahli Parlimen Parit Sulong itu.
Nuridah dan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mewakili pemuda PAS mengetuai rombongan masing-masing tiba di PWTC seawal jam 8 pagi.
Pada 15 September lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan tertinggi Umno hadir ke majlis perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke-64 bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. – 29 September, 2018.
Komen