Pemimpin keluar parti ibarat 'pelacur politik', kata ketua Puteri Umno


Zaim Ibrahim

Puteri Umno juga perlu aktif kukuhkan parti dan tidak bersikap seperti diva, kata Zahida Zarik Khan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

PUTERI Umno mengutuk para pemimpin yang meninggalkan parti itu selepas kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Puteri Zahida Zarik Khan berkata, tindakan pemimpin berkenaan tidak ubah seperti “pelacur politik” kerana memberi peluang kepada pihak lawan untuk menguasai kawasan pilihan raya.

“Mereka yang dapat kedudukan daripada Umno tapi menjual kedudukan itu kepada musuh. Maaf kata mereka ini tidak lebih daripada pelacur politk yang tidak bermaruah,” kata beliau.

Ucapannya semasa perhimpunan sayap parti tersebut hari ini disambut dengan sorakan dan tepukan perwakilan Puteri. 

Zahida juga berkata, Puteri Umno perlu memainkan peranan yang lebih aktif terhadap pengukuhan parti dan tidak bersikap seperti diva.

Katanya sayap parti itu juga perlu lebih tegas dan tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti secara membuta tuli.

“Era ‘yes sir’ sudah berakhir. Puteri bukan lagi pergerakan yang eksklusif, jangan jadi diva.

“Pergerakan Puteri tidak teragak-agar untuk mengukur dan menegur kepimpian tertinggi, jika tersasar daripada landasan perjuangan termasuklah presiden parti sekalipun,” kata beliau.

Beliau menyahut saranan Timbalan Presiden Mohammad Hassan yang meminta sayap parti memulakan usaha pengukuhan Umno.

Beberapa pimpinan tinggi Umno mengumumkan keluar parti termasuk Isa Samad, Mustapa Mohamed,Syed Ali Alhabshee dan Anifah Aman.

Tindakan itu berlangsung sejak seminggu sebelum perhimpunan agung Umno.

Lima ahli Parlimen dan 13 Adun sudahpun meninggalkan Umno sejak parti itu kalah pilihan raya umum 9 Mei. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen