Umno tidak pernah diskriminasi orang lain, kata Asyraf Wajdi


Chan Kok Leong

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap pada perhimpunan agung sayap Pemuda yang berlangsung di PWTC hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018

SEJAK tujuh dekad, Umno tidak pernah bersikap ekstrem, bersayap kanan atau mendiskriminasi. Parti ini sentiasa bersederhana,” kata Ketua Pemudanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kamus Oxford mendefinisikan perkauman sebagai tindakan diskriminasi atau antagonis terhadap orang lain.

“Jadi Umno sudah bersifat perkauman terhadap rakan dan mendiskriminasi orang lain berdasarkan kaum dan agama sejak 60 tahun lalu? Umno tidak pernah menyatakan kaum Melayu lebih hebat berbanding kaum lain.

“Umno tidak pernah memberi tekanan kepada kerajaan untuk dasar tidak adil yang menafikan hak perlembagaan kaum lain. Umno juga inklusif,” kata Asyraf.

Untuk membuktikan kata-katanya, Asyraf berkata bahagian Sabah - Pensiangan dan Tenom - diterajui oleh bumiputera beragama Kristian.

Katanya kerajaan Umno turut memperkayakan kaum lain.

“Mereka lebih kaya daripada kita. Tetapi kita tidak pernah ambil kekayaan mereka seperti Robin Hood,” kata Asyraf.

“Tetapi saya mahu memberi amaran kepada mereka yang semakin angkuh agar tidak lupa asal usul mereka dan jangan jolok sarang tebuan,” tambahnya.

Barisan delegasi PAS yang turut hadir pada perhimpunan agung Umno hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018

Beliau berkata ia sejajar dengan ajaran Islam dan sifat orang Melayu yang bertoleransi dan aman.

Tetapi adalah malangnya selepas PRU14, ramai yang menganggap bahawa pengundi menolak Umno kerana pendiriannya terhadap isu-isu Melayu dan Islam.

“Tiada satu kajian pun yang membuktikannya,” kata Asyraf pada perasmian perhimpunan agung Pemuda Umno hari ini.

Beliau berkata, kajian bagaimanapun mengaitkan kekalahan Umno dan BN dengan skandal pimpinan dalam isu 1Malaysia Development Berhad, pentadbiran yang lemah, integriti, kos sara hidup dan GST.

Lebih menyedihkan kata Asyraf, pemimpin Umno sendiri yang telah menyusahkan ideologi Umno dalam memperjuangkan hak Islam dan Melayu.

“Mengapa perlu malu untuk perjuangkan hak Melayu dan Islam apabila kaum lain juga perjuangan hak mereka, untuk elak melanggar batas mereka? Tetapi mereka bukan perkauman kerana mereka sahkannya dengan hak asasi manusia.” – 29 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen