TERPULANG kepada Saiful Bukhari Azlan untuk berkempen menggunakan kes liwatnya, kata Anwar Ibrahim.
Anwar, calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, berkata beliau hanya akan memberikan tumpuan kerjanya untuk menguatkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Itu soal Saiful…saya tidak campur, saya tumpu kerja saya untuk menguatkan kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir dan program untuk pengundi dan rakyat di Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Saiful akan mengunakan kes liwat membabitkan dirinya untuk kempen PRK Port Dickson.
Saiful Bukhari, bekas pembantu Anwar adalah antara lima calon yang bertanding pada PRK tersebut atas tiket bebas.
Bagaimanapun, beliau menafikan akan menggunakan kes liwat sebagai modal kempennya.
“Tidak, tidak, saya bertanding hari ini bagi meraikan demokrasi. Saya sudah 33 tahun pada tahun ini dan saya rasa sudah cukup dewasa dan selama 10 tahun ini saya rasa cukup pengalaman untuk saya mulakan karier politik saya.
“Sebelum ini saya bukan ahli politik, saya hanya orang biasa, hari ini lepas 10 tahun saya rasa saya perlu ke arena politik tanah air,” katanya.

Beliau turut menafikan penyertaannya dalam pilihan raya ini atas sebab ditaja pihak-pihak tertentu.
“Tidak, tidak. Saya bertanding atas kapasiti sendiri, tiada orang bayar atau taja. Saya di sini sebab benar-benar mahu bentanding.”
Antara calon lain yang menggunakan tiket bebas termasuklah bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.
Turut bertanding ialah calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, yang juga bekas presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian13 Oktober depan. – 29 September, 2018.
.jpg)
Komen