UMNO perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang menang atas tiket parti dan bertindak keluar parti, kata Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketua Pemuda itu berkata tindakan tegas perlu bagi menunjukkan mereka yang menang atas tiket parti tidak dibenarkan lari begitu sahaja sekiranya mereka belot.
“Tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang menggunakan jentera dan duit parti tapi akhirnya mengkhianati parti,” kata Asyraf pada ucaptama perasmian perhimpunan agung Pemuda pagi ini.
Turut senada dengan Asyraf, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad juga mahu pimpinan menyaman ahli Parlimen dan Adun yang menang atas tiket BN dan Umno pada pilihan raya umum lalu tetapi tinggalkan parti selepas pilihan raya.
“Pada masa yang sama, mereka perlu pulangkan kerusi selepas keluar parti,” kata Noraini ketika berucap.

“Walaupun mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang sivil, mereka sdah melanggar kontrak sosial apabila melompat parti dan mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada mereka oleh pengundi,” kata Noraini.
Dalam pada itu, Asyraf berkata Umno tidak salah walaupun tewas pada pilihan raya lalu.
“Bagaimana parti yang membantu kemerdekaan negara dan mengangkat kedudukan Islam menjadi semakin buruk? Mereka yang patut dipersalahkan ialah mereka yang dipercuyai oleh Umno namun mengkhoanati parti dengan meninggalkannya.”
Lima ahli Parlimen dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk bekas menteri Mustapa Mohamed dan Anifah Aman keluar parti sejak kekalahan pada PRU14.
Ada sesetengah daripada mereka menyertai parti komponen Pakatan Harapan atau parti mesra kerajaan manakala yang lain menjadi bebas, memilih untuk menjarakkan diri mereka daripada parti yang tidak lagi mereka percayai. – 29 September, 2018
Komen