Pakatan tak perlu lagi tuding jari, kata ketua Wanita Umno


Nabihah Hamid

Ketuanya Noraini Ahmad dalam ucapan pembukaan perhimpunan sayap parti itu berkata, sebagai pembangkang berwibawa, Wanita mahu memantau segala tindakan kerajaan baharu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

WANITA Umno berikrar untuk terus mendesak kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu. 

Ketuanya Noraini Ahmad dalam ucapan pembukaan perhimpunan sayap parti itu berkata, sebagai pembangkang berwibawa, Wanita mahu memantau segala tindakan kerajaan baharu itu. 

“Memang benar, Manifesto 10 Janji 100 Hari bukanlah kitab suci. Tetapi, setiap janji perlu ditepati! Taktik sekejap-sekejap terkejut – dan alasan klise akan dikaji, dan kemudiannya sedang dikaji bukanlah cara untuk mentadbir kerajaan. 

“Sebelum PRU, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan jawatan, mereka berikan pelbagai alasan,” katanya di hadapan 988 perwakilan Wanita daripada seluruh negeri. 

Sewaktu ucapan ahli Parlimen Parit Sulong itu, satu video turut ditayangkan yang memaparkan janji-janji PH termasuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), penghapusan PTPTN dan tol selain penurunan harga minyak RON95. 

“Kononnya hendak menghapuskan GST yang membebankan rakyat. Tetapi kini rakyat terpaksa pula menanggung SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). 

“Dulu ada orang berdegar-degar mengatakan sangat bersimpati dengan penerima PTPTN. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan kedudukan, mereka kata, tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tak bayar PTPTN,” katanya.

Wanita Umno bertekad mempertanggungjawabkan Pakatan Harapan atas semua janji manifestonya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 September, 2018.

Ucapannya itu disambut dengan jeritan para perwakilan Wania di Dewan Merdeka PWTC. 

Lebih malang lagi, kata Noraini provokasi terhadap LGBT juga ketara dan membimbangkan umat Islam dalam negara.

“Provokasi terhadap agama Islam juga semakin ketara. Isu LGBT, kebebasan beragama, isu matrimonial dan pelbagai lagi merengsakan kehidupan umat Islam di Malaysia.

“Sudah-sudahlah menyalahkan kerajaan terdahulu dan menjadi kerajaan yang flip-flop. Kalau pandai mentadbir, secupak pun akan menjadi segantang,” kata Noraini lagi. 

Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini hanya berlangsung selama dua hari. Selepas perhimpunan seretak tiga sayap Umno, wakil parti berkenaan akan membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Ucapan berkenaan paling dinantikan kerana akan mencorakkan hala tuju parti yang kini dipersoalkan sehingga menyebabkan ramai pemimpinnya keluar parti. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen