Perwakilan akur Umno sukar dapat sokongan jika hanya tumpu Melayu


Zaim Ibrahim

perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Umno yang diadakan di PWTC, malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018

BEBERAPA perwakilan Umno mengakui bahawa parti itu sukar mendapat sokongan rakyat jika memberi fokus terhadap satu kaum sahaja. 

Mereka bersetuju dengan pesanan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan yang meminta parti itu bergerak lebih maju dan tidak hanya menjuarai kepentingan Melayu.

Seorang daripadanya, naib ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan mengakui demikian kerana bimbang orang bukan Melayu akan terus menolak parti itu.

“Jika kita fokus terhadap isu-isu ahli Umno sahaja, maka kita tidak dapat undian daripada pihak lain,” kata Shahril, 32.

Beliau juga bersetuju dengan saranan Mohamad agar parti itu tidak terlalu bernafsu untuk mendapatkan kuasa kembali.

“Kita seharusnya fokus terhadap pengukuhan parti dan jangan terbuai-buai dengan sebarang nafsu, kerana walaupun ada perpecahan Pakatan Harapan tidak bermakna rakyat suka kepada kita,” jelasnya lagi.

Naib ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan mengakui parti itu sukar mendapat sokongan jika hanya fokus kepada satu kaum sahaja.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad pula berkata, Umno perlu kembali ke landasannya untuk menjuarai isu yang membelenggu kaum Melayu.

“Slogan seperti ‘Hidup Melayu’ boleh diteruskan tetapi perlu pengisian tentang apa yang dimaksudkannya.

“Kita juga tidak boleh sekadar menjadi suara ahli Umno tetapi kepada semua kaum Melayu. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh lupakan yang kita hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kita perlu menjadi suara kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau ketika ditemui media selepas perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Umno di PWTC, malam tadi.

Sementara itu, wakil mahasiswa dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd Kamil Azhad Mohd Ridwan berkata, Umno perlu mencari formula terbaik untuk mendapatkan kembali sokongan kaum Melayu.

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad berkata parti itu perlu kembali ke landasannya memperjuangkan kaum Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

“Kerjasama PAS-Umno merupakan titik permulaan yang baik  demi perpaduan agama Islam,” katanya. 

Beliau mengulas tindakan Umno yang menjalin kerjasama rapat dengan PAS melalui dua pilihan raya kecil yang dilangsungkan selepa PRU14 – di DUN Sungai Kandis dan Seri Setia. 

Langkah itu telah meningkatkan jumlah undi Melayu kedua-dua parti namun mengorbankan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian semalam, Mohamad antara lain meminta sayap parti untuk berhenti menggunakan slogan “Hidup Melayu” memandangkan pengaruh parti itu semakin susut.

Sebaliknya, Umno perlu mencari jalan kepada kaum Melayu agar lebih progresif agar masyarakat itu lebih maju, kata Mohamad lagi. – 29 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen