BEKAS aktivis, Kassim Ahmad akhirnya bebas selepas turun naik mahkamah sejak tiga tahun lalu.
Terdahulu hari ini, pendakwaraya syariah menggugurkan dua pertuduhan terhadap Kassim di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.
Kassim berdepan dua dakwaan pada 2014 kerana menghina agama Islam dan melanggar Fatwa Wilayah Persekutuan pada satu seminar yang diadakan Februari tahun yang sama di mana beliau membuat kenyataan terhadap beberapa ahli agama.
“Saya berasa lega. Saya gembira. Semua kawan-kawan saya gembira. Isteri saya terutamanya pasti akan gembira. Dia risau tentang saya dan kes ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kassim berkata, isterinya masih belum tahu mengenai kes itu kerana berada di Kulim bersama anak keduanya yang baru pulang dari Perancis.
“Mereka pasti gembira dengan berita ini…kamu tahu, sepanjang hayat saya mencari kebenaran. Seluruh hidup saya, hanya mahu mencari kebenaran; dan mereka tuduh saya hina Islam. Macam mana boleh berlaku? Tak masuk akal,” katanya.
Sementara itu anak lelaki Kassim, Ahmad Shauqi yang menemaninya hari ini berkata, ayahnya kini tiada lagi dakwaan yang membebaninya.
“Syukur segalanya dah selesai. Saya berterima kasih kepada peguam kerana menjalankan tugas dengan baik. Ayah saya dah bebas. Beban yang beas kini sudah tiada.
“Dia berjuang untuk Islam sepanjang hayatnya, meminta umat Islam mengikut Quran. Bagaimana dia dituduh menentang agama?
Dalam satu surat minggu lalu, peguam Kassim memberitahu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Paimuzi Yahya dan Ketua Pendakwaraya Syarie Wilayah Persekutuan Mohammad Adib Husain untuk menggugurkan tuduhan ke atas Kassim atau berdepan tndakan mahkamah kerana menghina Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Peguam Kassim meminta pendakwaan digugurkan dan bekas aktivis itu dibebaskan dengan tiga penjaminnya termasuk aktivis sosial, Marina Mahathir. Mereka turut menuntut wang jaminan RM6,000 dipulangkan.
Marina yang turut hadir pada prosiding hari ini menyatakan melalui tweet: “Unbelievable! The prosecutors withdrew the case!! KassimAhmad is finally free!! Syukur Alhamdulillah! (Sukar dipercayai! Pendakwaraya tariik balik kes!! Kassim Ahmad akhirnya bebas!! Syukur Alhamdulillah!).
“Lelaki berusia 84 tahun ini didakwa selama tuga tahun hanya kerana menyatakan pandangannya. Dia lemah, dia terpaksa datang dari Kulim. Isterinya sakit,” katanya menerusi laman Twitternya.
Kassim ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014; dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua kesalahan, yang membawa hukuman maksimum denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Dia memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan ketua pendakwaraya untuk mendakwanya.
Pada Disember 2015, Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati tindakan Jawi terhadap Kassim termasuk penahanan rentas sempadan, penahanan melebihi 24 jam tanpa akses kepada peguam dan pendakwaannya, tidak sah dan membenarkannya mencabar pendakwaan pihak berkuasa agama itu.
Keputusan Mahkamah Rayuan dicabar pihak berkuasa agama, tetapi Mahkamah Persekutuan tahun ini menolak permohonan kerajaan dan Jawi untuk mengetepikan rayuan.
Mahkamah turut mengarahkan pemohon membayar kos RM20,000 kepada Kassim. – 7 Ogos, 2017.
Komen