PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengecam “sekatan bijak” diwujudkan negara kaya ke atas import produk kelapa sawit yang memberi kesan buruk kepada negara pengeluar seperti Malaysia.
Bercakap pada Perhimpunan Agung PBB ke-73 di New York hari ini, Dr Mahathir berkata negara tidak lagi bebas sepenuhnya dalam konteks perdagangan global.
“Perdagangan bebas bermaksud tiada lagi perlindungan oleh negara kecil kepada industri muda mereka. Mereka perlu menghapuskan sekatan tarif dan membuka negara mereka kepada pencerobohan produk (negara) kaya dan berkuasa.
“Tetapi produk kecil (negara) miskin tertakluk pula kepada sekatan bijak supaya mereka tidak boleh menembusi pasaran (negara) kaya. Minyak sawit Malaysia dilabelkan merbahaya kepada kesihatan dan ladang sawit memusnahkan habitat haiwan.
“Produk makanan (negara) kaya diisytiharkan bebas minyak kelapa sawit. Sekarang kelapa sawit dikecam kerana menceroboh hutan dara,” katanya, menambah yang “mereka yang prihatin ini terlupa memboikot maknanya menafikan ratusan ribu orang daripada pekerjaan dan (kualiti) kehidupan yang baik.”
Parlimen Eropah pada Januari menggesa pengharaman sepenuhnya penggunaan minyak kelapa sawit dalam bahan bakar api kenderaan mencetuskan kemarahan pengeluar utama seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang sumber tenaga boleh diperbaharui yang menggesa penggunaan minyak kelapa sawit dalam bahan bakar bio diharamkan menjelang 2021. Kesatuan Eropah berkata komoditi itu sekiranya digunakan dalam bahan bakar bio akan menyekat cita-citanya melaksanakan sektor pengangkutan yang mesra dan lestari alam.
Komoditi itu adalah eksport utama Malaysia ke EU, mewakili 49% import serantau. Dr Mahathir pada lawatannya ke Indonesia pada Jun lalu, berkata Malaysia dan Indonesia- dua pengeluar terbesar minyak kelapa sawit- sudah bersetuju untuk bekerjasama menentang kempen anti minyak kelapa sawit dilancarkan Eropah. – 29 September, 2018.
Komen