Malaysia akan ratifikasi semua konvensyen hak asasi PBB, kata PM


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan kukuh menjunjung prinsip kemanusiaan diamalkan PBB dalam hubungan antarabangsanya.– Gambar AFP, 29 September, 2018.

MALAYSIA akan meratifikasi semua konvensyen sedia ada PBB mengenai hak asasi, kata Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung PBB malam ini.

Perdana menteri berkata Malaysia akan kukuh menjunjung prinsip kemanusiaan diamalkan PBB dalam hubungan antarabangsanya.

“Ini termasuklah prinsip kebenaran, hak asasi, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban, serta kelestarian.

“Dalam konteks ini kerajaan baharu Malaysia berikrar untuk meratifikasi semua instrument asas PBB sedia ada berkaitan perlindungan hak asasi. Bukan mudah untuk kami kerana Malaysia adalah negara pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa. Kami akan memberikan ruang dan masa untuk semua berbincang dan akan memutuskan sebebasnya berasaskan demokrasi,” katanya.

Selaku perdana menteri Malaysia selepas kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lalu, Dr Mahathir mewakili kerajaan baharu untuk menyampaikan hasrat dan aspirasi terkini Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB ke-73 di New York.

“Selepas 15 tahun dan (berusia) 93, saya kembali ke podium ini dengan tugas berat membawa suara dan harapan Malaysia Baharu ke pentas dunia,” katanya.

“Rakyat Malaysia yang berbangga dengan pencapaian demokratik terbaru mereka, mempunyai harapan tinggi yang seluruh dunia- kita akan menyaksikan keamanan, kemajuan dan kemakmuran.”

Dr Mahathir berkata Malaysia Baharu adalah di mana warganya memutuskan untuk mengubah kerajaan yang sudah 61 tahun berkuasa sejak Kemerdekaan kerana kerajaan terdahulu “terjebak dengan politik kebencian, ketaksuban agama dan kaum, serta korupsi yang berleluasa.”

Katanya, proses perubahan itu tercapai secara demokratik tanpa keganasan atau kehilangan nyawa.

“Rakyat Malaysia mahukan Malaysia Baharu yang menjunjung prinsip kesaksamaan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Mereka mahu Malaysia yang berkawan dengan semua orang dan tidak bermusuh dengan sesiapa. Malaysia yang kekal neutral dan tidak berpaksi. Malaysia yang membenci dan menyanggah perang dan keganasan.

“Mereka juga mahukan Malaysia yang menyuarakan pandangannya tentang yang baik dan salah, tanpa takut atau memihak. Malaysia Baharu yang percaya kerjasama berasaskan hormat menghormati demi manfaat bersama.”

Dr Mahathir ditemani isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dalam lawatan kerja itu. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen