Cerita Umno di PAU 2018, jual kerusi untuk cari makan


Zainal Rashid Ahmad

PERHIMPUNAN Agung Umno 2018 yang berlangsung hari ini dan esok tidak lagi seglamor tahun-tahun sebelumnya. Apalagi kalau nak dibandingkan dengan gahnya persidangan warna merah itu sepanjang tiga dekad terakhir sebelum Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 9 Mei lalu.

PAU 2018 muncul dengan kontroversi mengenai survival politik Umno yang tidak keruan sejak ditendang keluar dari Putrajaya 10 Mei lalu.

Malah, langkah Umno tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil Port Dickson pun sebenarnya tiada kaitan dengan isu boikot. Ia lebih kepada menguruskan “kad judi” parti itu dalam negosiasi dengan bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Spekulasi sudah lama diperkatakan. Sejak malam 9 Mei selepas Umno sedar parti itu kalah. Umno kini berunding dengan kedua-dua kem utama dalam PH. Sama ada kem Anwar mahu pun kem Dr Mahathir Mohamad.

Tidak bertanding di PD, antara usaha perjudian Umno untuk memberi laluan pada Anwar. Umno mengharapkan sesuatu, kalau Anwar menang dan jadi PM. Juga kalau Anwar berbalah dengan Dr Mahathir. Begitulah Umno sekarang. Sangat ambisius mahu menjadi kingmaker.

Berbalik pada PAU 2018. Orang tidak peduli lagi agenda ekonomi, pendidikan dan agama yang akan dibentangkan dalam sidang yang hanya dua hari saja. PAU kali ini sidang sunyi. Rakyat tidak melihat peranan Umno relevan dalam memacu kualiti hidup.

Malah, sidang pun setakat melepas batok di tangga. Hanya dua hari berbanding empat hari dalam kalendar tradisi Umno sebelum ini.

Orang pun tahu, niat Umno sekarang bukan lagi isu ekonomi, pendidikan dan agama. Umno bukan lagi hendak ke situ. Bak kata Presiden Dr Ahmad Zahid Hamidi: Umno kini sedang berusaha menjadi kerajaan. Umno sedang sibuk mengatur daun terup untuk kembali berkuasa.

Nampaknya, dalam kelesuan Umno untuk bersidang tahun ini, soal kembali berkuasa pastinya mimpi indah yang boleh dibahaskan para perwakilan.

Cuma, rakyat yang menilai Umno akan membahaskan isu lain. Isu memualkan. Di negara ini, politik lompat parti atau budaya jual kerusi adalah barah demokrasi yang tidak terpulihkan. Di negara ini, parti seperti Umno tidak reti hidup dengan peranan menjadi pembangkang.

Isu lompat parti bermula di Sabah pada minggu pertama tamat PRU14 pada 10 Mei lalu. Walaupun BN lebih awal membentuk kerajaan, tetapi akhirnya enam Adun Umno melompat ke Warisan. Akhirnya, Presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan negeri dalam suasana cukup dramatik.

Di peringkat persekutuan, dalam bulan pertama lepas PRU14, tiga ahli Parlimen BN dari Umno keluar parti dan menjadi wakil bebas, sebelum dua lagi wakil rakyatnya, keluar parti minggu lalu. Umno hilang lima kerusi dan kini tinggal 49 Ahli Parlimen sahaja.

Bercelaru juga jadinya, kerana sebulan selepas PRU14 juga, parti-parti BN dari Sarawak juga keluar BN.

BN Sarawak yang memiliki 19 kerusi parlimen, mengumumkan pembentukan pakatan baharu, Gabungan Politik Sarawak (GPS) yang tidak lagi bersama BN.

Okaylah. Semua pemimpin dan parti ada cara cari makan dalam politik. Ada yang bermaruah dan ada yang murahan. Rakyat dapat menilainya. Mana yang silap memberi undi, mendapat isyarat baharu. Cuma hukumannya, pengundi akan lakukan bila pilihan raya datang lagi.

Menjelang lima bulan lepas PRU14, ketika dakwat sudah kering dan jari sudah bersih, kehidupan wakil rakyat tetap jadi perhatian. Bukan kisah yang dilantik ke kabinet atau jadi exco negeri, tetapi 54 ahli Parlimen Umno (tinggal 49 kerana lima sudah lari).

Senarai tular akan keluar parti ada 18 nama. Setakat ini hanya wakil Jeli, Mustapa Mohamed dan wakil Kimanis, Anifah Aman yang sah tinggalkan Umno. Justeru, 16 nama lagi jadi intipan.

Meniaga kerusi Parlimen bukan isu baharu. Ahli politik Malaysia melakukan sejak dulu. Semuanya atas nama rakyat, walaupun dalam banyak keadaan, kita tahu ia muslihat dan musibat belaka. Sebenarnya, lompat sana sini disebabkan duit dan kuasa semata-mata.

Kita rakyat yang keluar mengundi, pecah kepala memikirkan keputusan. Siapa yang mahu dipilih dan parti mana mahu diberi mandat. Cuma selalunya, lepas pilihan raya, akan tetap ada wakil rakyat kaki lompat. Ini penyakit lama dan hingga sekarang tidak pernah sembuh tabiatnya.

Hujung minggu saya bertemu dengan rakan wartawan. Sempat berbual sekejap. Tajuk paling hangat – sahabat yang masih aktif dalam tugasan harian dan berkepit dengan orang politik ini menjelaskan: “Saya jamin akan ramai yang lompat!”

Ketika saya terkedu, wartawan senior ini menjelaskan: “Ahli Parlimen Umno tiada pilihan. Mereka akan melompat secara individu atau secara pukal. Umno takkan kekal pembangkang. Umno cari lubang untuk membentuk kerajaan. Jadi parti kuli pencacai pun tak apa. Asal dalam kerajaan!”

Terkedu lagi mendengarnya: “Sumber saya jelas,” kata wartawan sohor ini.

Cuma, apa yang akan membuatkan mereka melompat bergantung pada senario politik. Terutama, apa keadaan hubungan masa depan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Orang Umno tunggu apa berlaku selepas PRK Port Dickson,” katanya.

Matematik politiknya mudah, kalau berlaku krisis Dr Mahathir dan Anwar, baki 49 Ahli Parlimen Umno akan masuk jarum. Pastinya menjual kerusi. Sama ada secara individu atau pukal, ia bergantung pada bentuk negosiasi.

“Ini sumber paling hampir dengan atasan Umno. Mereka tunggu apa terjadi selepas Anwar menang di PD,” hurainya lagi.

Kita pun sudah menjangka pastinya ada krisis lompat dan susun semua kombinasi parti kalau krisis benar-benar berlaku antara Dr Mahathir dan Anwar selepas PRK PD.

Cuma kita hairan, kalau Dr Mahathir dan Anwar mengekalkan setiakawan persefahaman seperti yang dipersetujui, apakah akan terjadi pada Umno.

“Tentulah mereka gigit jari,” kata wartawan senior ini sambil berlalu pergi.

Umno oh Umno. Masih begini perangainya. Sama saja dengan perangai macam ketika berkuasa. Parti keramat ini hanya kemaruk kuasa. Baru empat bulan ditendang keluar dari Putrajaya, Umno meraba-raba mencari kembali peranannya untuk menjadi kerajaan.

Nyatanya, banyak lagi yang perlu dipelajari Umno. Terutama pelajaran mengenai maruah dan harga diri dalam konteks demokrasi.

Orang Umno nampaknya tetap kekal dengan imej, politik cari makan! – 29 September, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen