MOHD Saiful Bukhari akan bertanding di Port Dickson melawan Anwar Ibrahim.
Bekas pembantu peribadi kepada Anwar itu mengesahkan beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil itu tetapi bukanlah disebabkan hendak membalas dendam kepada ketua umum PKR itu.
“Saya sudah memutuskan untuk bertanding di Port Dickson sebagai calon bebas. Ini bukan balas dendam, ini sebab peribadi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Katanya, beliau juga mahu menawarkan khidmatnya kepada penduduk Port Dickson serta menjunjung demokrasi yang nampaknya diperlekeh PKR apabila mereka mengundurkan wakil rakyat sebelum ini untuk memberi ruang kepada Anwar.
“Ini adalah soal saya mahu jadi wakil rakyat dan berkhidmat kepada rakyat,” kata Saiful Bukhari.
Saiful Bukhari adalah sosok utama terlibat dalam kes liwat kedua Anwar. Sebelum membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat Anwar, beliau mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan pembantunya.
Beliau didakwa menyimpan air mani Anwar selama tiga hari di dalam duburnya sebelum membuat laporan polis. Laporan polis dibuatnya menyebabkan Anwar dipenjara buat kali kedua.

Anwar sentiasa menegaskan yang beliau adalah mangsa konspirasi politik dalam pertuduhan liwatnya.
Beliau diberikan pengampunan penuh oleh Yang di Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan berjaya takluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Anwar bertanding di PRK Port Dickson selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen seterusnya mengosongkan kerusi Port Dickson.
PRK Port Dickson menyaksikan perlawanan lima penjuru dengan pengesahan Saiful Bukhari bertanding. Selain Anwar dan Saiful Bukhari, PAS turut meletakkan calonnya, bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad turut bertanding sebagai calon bebas. Dua lagi calon bebas ialah Stevie Chan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM
Langkah PD itu dikecam banyak pihak termasuklah kumpulan pesara tentera, Patriot yang menyifatkan ia satu pengkhianatan.
Hampir 7,000 pengundi Port Dickson adalah anggota tentera.
Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina dan 22% India.
Penamaan calon dijadualkan esok dan pengundian ditetapkan pada 13 Oktober depan. – 28 September, 2018.
Komen