PENEMUAN bangkai gajah pigmi dengan beberapa kesan tembakan di Sabah merupakan petunjuk konflik haiwan –manusia di negeri itu, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Masidi Manjun.
Katanya pembunuhan haiwan terancam itu mencerminkan kurangnya kesedaran masyarakat Sabah terhadap kepentingan konservasi kepada sektor pelancongan negeri itu.
“Apa yang mengecewakan saya ialah, terdapat segelintir masyarakat Sabah yang tidak sedar kepentingan konservasi gajah pigmi Borneo.
“Spesis gajah ini merupakan ikon kepada negeri. Rakyat Sabah perlu memandang haiwan ini sebagai salah satu hasil yang menyumbang kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.
Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan penemuan gajah betina spesis itu dengan beberapa kesan tembakan di kawasan ladang berhampiran Hutan Simpan Malua di kawasan pantai timur Kinabatangan.
Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata jabatan itu masih menyiasat berhubung penemuan itu.
“Kita akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya.
Walaupun siasatan masih dijalankan, Masidi percaya gajah berkenaan dibunuh kerana menceroboh kawasan pertanian, dan menambah berkemungkinan seseorang menembak haiwan itu untuk melindungi tanaman mereka.
“Saya harap Jabatan Perhilitan dapat membawa individu yang bertanggungjawab menembak gajah itu ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya. – 7 Ogos, 2017.
Komen