SHAFIE Apdal mahu anak-anak hasil daripada perkahwinan campur dipertimbangkan diberi MyKad bagi menamatkan masalah orang tanpa kerakyatan di Sabah.
Di bawah Perlembagaan Malaysia, Perkara 15A menyatakan kerakyatan “anak tidak setaraf” adalah mengikut kerakyatan ibu.
Contohnya, jika seorang wanita Filipina melahirkan anak luar nikah di Sabah dan bapanya seorang warganegara Malaysia, maka anak itu adalah warganegara Filipina, mengikut warganegara ibunya.
“Ini bukan masalah baru, jadi kita mesti cari jalan untuk menyelesaikannya.
“Kita perlu ada sistem contohnya mana-mana ibu bapa yang merupakan rakyat tempatan, anak itu perlu dipertimbangkan diberi MyKad.
“Sepatutnya tidak ada masalah dalam memberi MyKad kepada mereka yang mempunyai bapa rakyat tempatan.
“Perlu selaraskan mana-mana isteri atau suami supaya anak-anak ini tidak mempunyai kerakyatan,” kata Shafie selepas melancarkan majlis bertemu rakyat di Keningau hari ini.
Mengikut bancian yang dilakukan oeh gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang dipanggil Gannos, hampir 60,000 orang di Sabah tidak mempunyai kerakyatan.
Shafie bagaimanapun menjelaskan kenyataan beliau bukanlah bermaksud memberi kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin seperti yang dikatakan pembangkang sebelum ini.
“Sudah tentu kita mahu menamatkan masalah orang tanpa kerakyatan di negeri ini, tetapi perlu ada sistem yang memudahkan proses memberi MyKad kepada anak-anak ini.
“Jika tidak, bagaimana mereka mahu membesar dengan tidak bersekolah dan masuk universiti kalau tiada kad pengenalan,” kata beliau. – 28 September, 2018.
Komen