KESIBUKAN ibu bapa Ivy Sherly berpindah rumah ketika beliau dilahirkan sehingga terlupa mendaftar kelahirannya dalam tempoh 42 hari seperti ditetapkan undang-undang pada 2005 membawa musibah.
Tahun lepas, permohonannya untuk mendapatkan MyKad pada usia 12 tahun ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ibu bapanya, Venus Jaimi dan Debra Dapil berkata mereka berdepan masalah pengangkutan dan kewangan selepas berpindah dari Kota Kinabalu ke Keningau ketika itu, tetapi tidak menjangkakan masalah lebih besar wujud disebabkan terlambat mendaftar kelahiran anak ketiga mereka.
“Kami tak pernah berdepan masalah ini dengan dua lagi anak kami, walaupun kami berkahwin di kampung,” kata Jaimi.
“Tetapi undang-undang berubah ketika Ivy dilahirkan. Kami tak ambil berat sangat (pendaftaran kelahiran) ketika itu.”
Perkahwinan di kampung tidak didaftarkan dengan JPN, tetapi Jaimi berkata mereka tidak pernah berdepan masalah mendaftarkan kelahiran dua lagi anak mereka.
Tanpa MyKad, Ivy tidak boleh melanjutkan pelajaran dan berdepan masalah mendapatkan pekerjaan yang baik ketika dewasa kelak.
Ivy adalah salah seorang daripada 60,000 kanak-kanak tanpa warganegara yang bertebaran di seluruh Sabah, menurut kajian dijalankan badan bukan kerajaan, Gannos.
Beliau, seperti ramai lagi “anak jati Sabah” yang dinafikan MyKad terjebak dalam masalah tanpa kewarganegaraan kerana kemiskinan, pengangkutan dan kekurangan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendaftaran kelahiran.
Tetapi masalah itu berakhir hari ini apabila Ivy bersama-sama hampir 300 keluarga yang berdepan masalah kewarganegaraan menghadap mahkamah Sabah bagi mengeluarkan sijil kelahiran mereka di Keningau.
Ini adalah majlis ketiga diadakan Ketua Menteri Shafie Apdal bagi menyelesaikan pelbagai masalah seperti perebutan tanah, pendatang dan kewarganegaraan. Dua majlis sebelum ini diadakan di Semporna dan Kota Marudu.
.jpg)
Ketua Hakim Richard Malanjum yang mengetuai Mahkamah Bergerak Sabah berkata isu kewarganegaraan di Sabah kebiasaannya dihadapi penduduk pendalaman.
Kes seperti itu biasanya melibatkan mereka yang tidak mempunyai sijil kelahiran, yang ada sijil kelahiran tetapi tiada MyKad dan mereka yang lambat didaftar kelahirannya.
“Pada masa dulu, penduduk Sabah dari kawasan pendalaman terpaksa pergi ke Kota Kinabalu atau Sandakan untuk menghadiri bicara.
“Ini menyebabkan mereka terpaksa berbelanja besar terutama mereka yang tinggal di kawasan pendalaman, jadi ada antara ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak mereka,” katanya.
Setakat ini, Malanjum berkata Mahkamah Bergerak Sabah mempercepatkan proses itu dan sudah membantu pendaftaran sehingga 40,000 kes sejak 10 tahun lepas.
Situasi unik di Sabah itu juga menyebabkan ramai penduduk Sabah yang tidak mempunyai MyKad ditahan Jabatan Imigresen dan ditempatkan di pusat tahanan sementara bersama-sama pendatang haram yang menunggu masa dihantar ke negara asal mereka.
Masalah kewarganegaraan sukar diselesaikan kerana ia selalunya melibatkan perkahwinan campur penduduk tempatan dan warga asing menyebabkan kewarganegaraan anak-anak mereka tidak dapat diputuskan.
Malanjun berkata proses menyelesaikan isu tanpa warganegara boleh mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, malah ada kes mengambil masa sehingga enam bulan.
“Tetapi saya gembira, kita bergerak dalam hala tuju yang betul dan (penyelesaian) masalah kewarganegaraan kini bertambah baik,” katanya. – 28 September, 2018.
Komen