KEPUTUSAN PAS meletakkan seorang pesara pegawai tentera udara sebagai calonnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan berjaya meraih perhatian pengundi, tetapi bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim hampir pasti meraih kemenangan, kata pengundi bandar tentera darat itu.
Ramai penduduk tempatan yang ditemui The Malaysian Insight mengakui calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar adalah calon yang mempunyai kelayakan hebat.
“Fakta yang dia ada latar belakang tentera juga akan meraih banyak sokongan anggota tentera di Port Dickson,” kata Samad Abdullah, 65.
Manakala, ahli PAS Bashari Ashaari pula yakin Nazari akan mampu memberikan cabaran kepada Anwar yang setakat ini dianggap calon pilihan menang PRK tersebut kerana Nazari akan mampu menarik 7,000 pengundi tentera kawasan itu mengundinya.
“Dia ada personaliti dan hubungan baik dengan bekas rakan tenteranya,” kata suri rumah itu.
Nazari berkhidmat dalam Tentera Udara Malaysia selama 28 tahun sehingga bersara pada 2008 juga mempunyai kelayakan akademik tinggi peringkat sarjana dalam bidang pertahanan dan kajian strategik.
Walaupun kelayakan Nazari jadi petunjuk beliau calon terbaik untuk mewakili penduduk Port Dickson, penduduk tempatan berkata Anwar tetap jadi pilihan pengundi.

“Orang ramai suka dia, ramai pelanggan saya cakap perkara baik tentang Anwar.
“Selama ini dia buat yang terbaik dan kita perlukan kepimpinan baharu,” kata chef Nazirah Mokhtar.
Seorang lagi pengundi Mohammad Armi berkata beliau percaya tindakan bekas wakil rakyat Danyal Balagopal Abdullah berundur untuk membuka jalan kepada Anwar adalah “tindakan tepat” Pakatan Harapan walaupun berdepan kecaman hebat beberapa pihak termasuklah persatuan pesara tentera, Patriot.
“Keputusan untuk kosongkan kerusi, untuk beri peluang kepada calon lebih baik adalah tindakan tepat Pakatan,” katanya.
“Di jalanan, Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang baik dan rakyat percaya dia akan bawa kebaikan kepada Port Dickson.”
Patriot sebelum ini mengecam PRK Port Dickson, menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pengundi dan veteran yang berkempen dan menyokong Danyal pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Semalam PAS mengumumkan Nazari akan bertanding mencabar Anwar.
Selain Anwar, Nazari juga akan berdepan dua calon bebas, bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad dan Stevie Chan dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang masih belum diputuskan.
Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar, terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%) dan India (22%).
Penamaan calon akan berlangsung esok dan pengundian ditetapkan pada 13 Oktober. – 28 September, 2018.
Komen