UTUSAN Malaysia dan Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob hari ini mencapai persetujuan menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan terhadap akhbar itu pada 2015 di luar mahkamah.
Sebagai syarat penyelesaian, Utusan juga setuju untuk menyiarkan wawancara khas dengan Adnan yang akan menyentuh kejayaan beliau mentadbir Pahang selama empat penggal dan aspirasinya untuk negeri itu pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju Utusan akan mewawancara Adnan dalam masa seminggu dan wawancara berkenaan akan disiarkan selepas mendapat persetujuan daripada menteri besar itu.
Dalam penghakiman penyelesaian itu, Utusan menyatakan kekesalannya berhubung penerbitan sebuah artikel bertajuk “Hebat Sangatkah Adnan?” yang menjejaskan reputasi menteri besar itu.
Menurut peguam Adnan, Americk Sidhu, menteri besar itu yang sebelum ini menuntut Utusan memohon maaf akhirnya setuju kepada penggunaan kata “kesal”.
“Wawancara Utusan itu akan membetulkan kesilapan yang dibuat sebelum ini. Dari satu segi, ia penyelesaian yang baik. Semua pihak dapat apa yang mereka mahu. Beliau (Adnan) mahu mendapatkan semula maruahnya. Tidak semua saman fitnah berakhir dengan ganti rugi,” kata Sidhu.
Jelas beliau penyelesaian itu lebih baik daripada ganti rugi wang ringgit.
Penyelesaian itu tidak melibatkan sebarang kos serta permohonan maaf dan artikel berkenaan tidak perlu ditarik balik.
Artikel yang dipertikaikan itu diterbitkan dalam ruangan Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat disiarkan akhbar Mingguan Malaysia pada 9 November 2014.
Adnan dalam samannya mendakwa artikel itu membawa maksud seolah-olah beliau tidak sesuai memegang jawatan Menteri Besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.
Adnan juga mendakwa artikel itu menggambarkan beliau telah menyalahgunakan kedudukan politiknya dan menekan media yang kritikal terhadapnya.
Dalam penghakiman penyelesaian itu juga, Utusan Malaysia bersetuju untuk menerbitkan kenyataan penjelasan dalam akhbar tersebut pada Selasa.
Penghakiman persetujuan itu direkodkan di hadapan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad dengan kehadiran Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak dan Adnan.
Mahkamah Tinggi pada Julai 2015 menolak permohonan Utusan untuk membatalkan saman yang difailkan Adnan.
Utusan bagaimanapun menang dalam rayuannya apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Adnan tiada hak di sisi undang-undang untuk mengemukakan saman fitnah terhadap akhbar itu atas kapasiti sebagai seorang pemimpin negeri.
Mahkamah Persekutuan pada 13 Februari lalu bagaimanapun memerintahkan kes itu dibicarakan semua selepas membenarkan rayuan Adnan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan saman tersebut. — 7 Ogos 2017
Komen