BEKAS presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Nor Hisham Ahmad Dahlan dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengesahkannya dan berkata beliau sudah menyerahkan surat pelantikan Nor Hisham awal hari ini.
“Ia adalah Nor Hisham. Saya baru sahaja memberinya surat pelantikan,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada majlis hari ini.
Nor Hisham menggantikan Amin Nordin Abd Aziz yang meletak jawatan pada 1 September.
Amin, 63, sepatutnya bersara pada 18 Julai tahun lepas tetapi perkhidmatannya dilanjutkan dengan kontrak selama dua tahun sehingga Julai 2019.
Nor Hisham berkhidmat dengan MPSJ dari 2014 hingga 2017 dan sebelum itu merupakan pegawai daerah Gombak.
Beliau mempunyai 37 tahun pengalaman dalam pelbagai agensi persekutuan dan negeri, termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pejabat Sekretariat Negeri Selangor. – 28 September, 2018.
Komen