Putrajaya pinda Akta Suruhanjaya Penerbangan


Diyana Ibrahim

Rang Undang-Undang Akta Suruhanjaya Penerbangan 2015 bakal dipinda bertujuan memberi kuasa mengenakan dan memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawalseliaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

PUTRAJAYA hari ini bakal meminda Rang Undang-Undang Akta Suruhanjaya Penerbangan 2015 bertujuan memberi kuasa mengenakan dan memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawalseliaan.

Pindaan Rang Undang- Undang (RUU) dibacakan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Abd Aziz Kaprawi dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Manakala bacaan  untuk kali keduanya akan dibentangkan dalam mesyuarat kali ini juga.

Antara lain pindaan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 atau Akta 771 itu juga memastikan Suruhanjaya akan mempunyai sumber kewangan mencukupi secara berterusan bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna dan pembangunan industri penerbangan Malaysia.

Namun pindaan Akta 771 tidak menerangkan jumlah caj yang akan dikenakan kepada penumpang.

“Fasal 3 bertujuan untuk memasukkan suatu perenggan baharu (fa) ke dalam subseksyen 18(2) Akta 771 untuk membolehkan Suruhanjaya mengenakan dan memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang,” sepertimana dinyatakan dalam RUU tersebut.

Selain itu, Akta 771 ini juga memasukkan subseksyen baharu iaitu 65(4) bagi membenarkan Suruhanjaya mengenakan penalti kewangan bagi ketidakpatuhan terhadap sebarang garis panduan melibatkan persaingan.

Dibawah pindaan tersebut penalti yang dinyatakan ialah setakat satu amaun tidak melebihi RM1 juta

Antara lain, pindaan Akta 771 juga memberi kuasa untuk mengawal selia fi dan caj dikenakan secara tidak adil oleh penyedia perkhidmatan penerbangan demi melindungi kepentingan pengguna namun tidak dinyatakan jumlah caj tersebut.

Akta 771 juga bertujuan menjelaskan penguntukan hak trafik udara bagi lalian domestik ialah fungsi Suruhanjaya. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen