Tuan Ibrahim ketuai delegasi PAS ke perhimpunan agung Umno


Zaim Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengetuai delegasi parti ke Perhimpunan Agung Umno bagi menggantikan Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018.

BARISAN pemimpin tertinggi PAS akan tetap hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu ini walau tanpa kehadiran presiden mereka, Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hadi memenuhi undangan untuk program lain yang diterima terlebih dahulu sebelum jemputan rasmi daripada Umno.

“Beliau meminta saya mengetuai delegasi itu. Setiausaha agung, naib presiden, ketua penerangan, pimpinan tertinggi parti (akan hadir ke PAU),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Hadi sepatutnya hadir ke acara Umno itu sebagai timbal balas selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin tertinggi hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-64 pada 14 September lalu.

PAU 2018 akan dirasmikan malam ini diikuti persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri esok serta perbahasan usul ucapan presiden pada 30 September.

Langkah berbaik-baik antara PAS-Umno menimbulan perasaan kurang senang kepada akar umbi Umno hingga pemimpin kanan parti, Mustapa Mohamed keluar Umno.

Setakat ini, lima ahli Parlimen dan 13 wakil rakyat negeri sudah meninggalkan Umno sejak parti itu tersingkir daripada Putrajaya. – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen