PERMOHONAN undang-undang oleh pengundi Port Dickson untuk mencabar kekosongan kerusi itu tidak akan menjejaskan proses pilihan raya kecil, kata calon PKR untuk kerusi itu, Anwar Ibrahim.
“Speaker (Dewan Rakyat) sudah membuat keputusannya dengan surat (bahawa kerusi itu kosong),” kata Anwar kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan proses. Ini hanya usaha oleh pihak tertentu untuk menghalang Anwar. Ini merupakan proses lama (selama 20 tahun) untuk menghentikan Anwar.
“Insya-Allah, saya percaya pengundi akan membuat keputusan yang bijak,” kata bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Rosmadi Mohd Kassim memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu untuk mencabar keputusan Ahli Parlimen Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu pada awal bulan ini.
Tindakan Danyal adalah untuk memberi jalan kepada presiden PKR akan datang untuk bertanding di kawasan Parlimen.
Rosmadi sedang memohon pengisytiharan yang keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)mengumumkan kekosongan kerusi itu menyalahi undang-undang, dan meminta injunksi untuk menghentikan suruhanjaya daripada mengadakan PRK bulan depan.
Beliau memohon pengisytiharan peletakan jawatan Danyal sebagai ahli Parlimen sebagai tidak sah dan untuk certiorari (proses mendapatkan semakan kehakiman) bagi membatalkan notis SPR pada 20 September untuk mengadakan PRK pada 13 Oktober.

Mahkamah menetapkan Selasa depan (2 Oktober) untuk mendengar permohonan itu.
Hari penamaan calon PRK Port Dickson ialah Sabtu ini. Ia kemungkinan besar akan menyaksikan pertandingan berbilang penjuru antara Anwar daripada Pakatan Harapan dengan pencabar bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, seorang veteran angkatan udara daripada PAS Mohd Nazari Mokhtar, calon Parti Rakyat Malaysia dan wakil bebas Stevie Chan Keng Leng.
Kerusi itu dipegang PKR sejak 2008 ketika ia masih dikenali sebagai Teluk Kemang. Tempat itu dinamakan semula sebagai Port Dickson selepas persempadanan semula sebelum pilihan raya umum yang lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan 36,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional daripada MIC V. Mogan, yang mendapat 18,515 undi; dan Mahfuz Roslan daripada PAS sebanyak 6,594 undi. – 28 September, 2018.
Komen