Tindakan kosongkan kerusi PD punca saya bertanding, kata calon PAS


Kamles Kumar

Calon PAS PRK Port Dickson Mohd Nazari Mokhtar berkat abeliau kecewa dengan tindakan Danyal yang mengosongkan kerusi untuk beri laluan kepada bakal presiden PKR Anwar Ibrahim.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2018

BEKAS pegawai tentera udara Mohd Nazari Mokhtar bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson kerana kecewa dengan tindakan PKR untuk menolak bekas pegawai tentera itu dari Parlimen.

Calon PAS itu berkata tindakan Danyal Balagopal Abdullah untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen bagi membolehkan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim bertanding adalah tidak perlu.

“Beliau tidak sepatutnya meninggalkan port folionya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson. Beliau mewakili kami, hampir 300,000 pesara tentera di seluruh Malaysia,” kata Nazari kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, Danyal tidak sepatutnya mengosongkan kerusi dan memberi risiko kepada hak anggota tentera untuk diwakili di Parlimen.

“Mereka (pesara tentera) sangat kecewa. Jawatan ini tidak sepatutnya diberikan kepada Anwar. Saya tidak peduli.

“Namun sebagai anggota tentera, kami perlu berjuang. Kita ada wakil dan beliau perlu berjuang untuk kami, bukan tinggalkan macam ini.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu menyerahkan kerusi Pandan keapda suaminya.

“Pada saya, tempat yang paling sesuai untuk nwar adalah mengambil alih tempat isterinya, bukan Port Dickson.”

Nazari yag memegang ijazah sarjana pengajian pertahanan dan strategik berkata, beliau merancang untuk membawa isu kebajikan anggota tentera, yang diabaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami bersama, kami di platform yang sama. Jadi, kami berjuang untuk pesara dan anggota tentera.”

Katanya, beliau akan mendapatkan sokongan kumpulan veteran seperti Pahlawan dan Persatuan Patriot Kebangsaan, untuk membantunya berkempen.

Bagi rakyat bukan anggota tentera, beliau berkata, jika menang, beliau akan meningkatkan kualiti sektor pelancongan di Port Dickson, bagi menjadikan bandar pesisir pantai itu hidup dan berpotensi penuh.

“Port Dickson merupakan bandar pelancongan. Tetapi kita tidak mempunyai banyak kemudahan di sini. Ia perlu bertaraf dunia.

“Kami mahu ada rancangan, rangka, untuk penduduk bincangkan tentang bajet dan semua itu untuk menjadikan ia lebih baik,” kata pesuruhjaya PAS Tenggara Johor berusia 57 tahun itu. 

Pilihan raya kecil Port Dickson diadakan selepas Danyal mengosongkan kerusi itu untuk Anwar, yang mahu kembali ke Parlimen.

Ketika Barisan Nasional dan Umno memutuskan untuk memboikot pilihan raya itu, bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad malam tadi mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas.

Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Stevie Chan Keng Leng juga menyatakan hasrat mereka untuk bertanding.

Penamaan calon akan diadakan esok manakala hari mengundi ditetapkan pada 13 Oktober.  – 28 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen