ISA Samad meletakkan jawatan dalam Umno tiga hari lalu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson sebagai calon bebas.
Bekas menteri besar Negeri Sembila itu berkata, beliau meninggalkan parti kerana pimpinan tidak mendapatkan input daripadanya untuk bertanding atau bikot pilihan raya itu.
“Saya keluar sebagai ahli Umno kerana saya mahu bertanding. Mereka (pimpinan) juga tidak tanya saya sama ada saya nak bertanding atau tidak,” kata Isa kepada pemberita pada sidang media malam tadi.
Bekas ketua Umno bahagian Telok Kemang itu menambah, beliau tidak didatangi oleh mana-mana pimpinan atasan berhubung keputusannya untuk meninggalkan parti.
Beliau berkata, kekecewaan sebenar beliau terhadap Barisan Nasional adalah parti itu hilang Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 14.
“Saya kecewa di Negeri Sembilan kerana kita tewas. Tetapi, saya tidak boleh menyimpan dendam itu lagi,” kata Isa.
Isa yang juga ahli Parlimen Jempol itu berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding kerana merasakan rakyat Port Dickson perlu memiliki ahi Parlimen yang mereka kenal berbanding orang luar.
“Undi Melayu tidak berpecah. Saya serahkan kepada mereka. Saya menawarkan diri untuk bertanding di Port Dickson.

“Saya kenal rakyat di sini. Saya akan cuba bantu mereka. Sudah 40 tahun saya berkhidmat kepada mereka,” katanya.
Isa merupakan menteri besar Negeri Sembilan dari 1982 hingga 2004.
Isa merupakan Adun Linggi selama lima penggal dan pernah memenangi kerusi negeri Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 2009. Kedua-dua kerusi itu di dalam kawasan Parlimen Port Dickson. Beliau juga merupakan bekas ahli Parlimen Jempol.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda antara 2010 dan 2017 namun tempoh perkhidmatannya dicemari dengan siasatan ke atas dakwaan pembelian tanah dan hotel yang mencurigakan.
Kerusi Port Dickson dikosongkan kepada Anwar oleh ahli Parlimen PKR Danyal Balagopal Abdullah yang meletakkan jawatan pada 12 September lalu.
Ketika BN dan Umno memboikot pilihan raya itu, PAS menamakan calonnya.
Parti Rakyat Malaysia dan juga calon bebas Stevie Chan juga menyatakan mereka akan bertanding.
Hari penamaan calon bagi PRK itu adalah pada Sabtu ini. – 28 September, 2018
Komen