KEPUTUSAN Isa Samad untuk bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson akan memberi kesan kepada usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, kata pengundi di bandar pesisir pantai itu.
Pengundi memberitahu The Malaysian Insight, Isa yang pernah menjadi menteri besar dari 1982 hingga 2004, masih popular dalam kalangan penduduk tempatan dan boleh menggugat Anwar pada pilihan raya kecil Port Dickson.
“Beliau sudah menjadi MB selama 22 tahun. Dan ketika bersama Umno, beliau bermula dari bawah dan naik menjadi naib presiden kerana kemampuannya untuk (memerintah) sokongan akar umbi,” kata Selvakumar, 58, yang merupakan seorang juruelektrik.
“Beliau rendah diri. Rakyat suka kepadanya. Banyak yang beliau lakukan untuk mereka, terutamanya di Port Dickson. Beliau merupakan ancaman besar kepada Anwar. Saya letak (Anwar) peluang 50-50 sekarang”.
Isa pada malam Khamis mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya itu, yang pasti akan menjadi tumpuan pada hari penamaan calon esok.
Kerusi itu dikosongkan kepada Anwar oleh ahli Parlimen PKR Danyal Balagopal Abdullah yang meletakkan jawatan pada 12 September lalu.

Isa merupakan Adun Linggi selama lima penggal dan pernah memenangi kerusi negeri Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 2009. Kedua-dua kerusi itu di dalam kawasan Parlimen Port Dickson. Beliau juga merupakan bekas ahli Parlimen Jempol.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda antara 2010 dan 2017 namun tempoh perkhidmatannya dicemari dengan siasatan ke atas dakwaan pembelian tanah dan hotel yang mencurigakan.
Selvakumar yang merupakan pengundi di Jempol menolak kontoversi itu: “Walaupun kerosakan sudah berlaku di Felda, rakyat akan ingat khidmat yang pernah beliau (Isa) lakukan di sini”.
“Beliau tidak boleh bertanding di bawah Umno kerana Umno sudah boikot (pilihan raya). Ada seseorang di belakangnya, dan buka dari BN.”
Selvakumar mempersoalkan apa yang Anwar tahu tentang Port Dickson, dan menambah beliau tidak sepatutnya bertanding di kerusi itu kerana isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah merupakan ahli Parlimen.
“Beliau boleh saja meminta mereka mengosongkan kerusi itu untuknya. Mengapa Port Dickson,” katanya.
Sementara BN dan Umno memutuskan untuk memboikot pilihan raya itu, PAS pula menamakan pesara pegawai tentera udara Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calonnya.
Parti Rakyat Malaysia dan juga calon bebas Stevie Chan juga menyatakan mereka akan bertanding.
Sementara itu, Mike, 61, yang merupakan seorang pesara di Seremban berkata kadar gaji minimum kekal sebagai isu panas.
“Di Port Dickson, ramai golongan berpendapatan rendah. Keputusan untuk tidak menaikkan kadar gaji kepada RM1,500 tetapi hanya RM1,050..ini yang menyebabkan rakyat tidak suka.
“Rakyat melihat Pakatan Harapan tiada duit. Rakyat hanya lihat semuanya kerana duit (pada pilihan raya ini). Mereka juga akan menyaksikan peningkatan dalam perniagaan bagi tempoh dua minggu ini,” kata Mike.
Berhubung kontroversi Felda yang menyelubungi Isa, Mike berkata: “Siapa yang tidak tercemar? Isa orang tempatan. Lahir dan membesar di PD. Beliau ada sokongan yang baik di Pasir Panjang dan Linggi.
__full.jpg)
“Tidak mudah untuk Anwar dengan Isa bertanding. Dengan pencalonan Isa, beliau akan mengurangkan sokongan kepada Anwar.”
Bagaimanapun, tidak semua yang percaya Anwar akan berdepan masalah pada pilihan raya ini.
Wong Chui Han, yang merupakan seorang wartawan di Seremban percaya bekas timbalan perdana menteri itu memiliki “populariti tinggi” akan memberi satu cabaran.
“Saya rasa rakyat di Port Dickson mahu mempunyai perdana menteri dari kawasan mereka.
“Tambahan pula, prestasi Isa tidak begitu baik sebagai MB berbanding Mohamad Hasan (penggantinya). Rakyat tidak boleh melupakan skandal Felda dengan mudah,” kata Wong.
Pada undian tiket filem yang dianjurkan oleh penyokong Anwar malam tadi, bakal presiden PKR itu berkata pengundi akan “menentukan yang terbaik untuk mereka”.
“Sekiranya beliau (Isa) menawarkan diri (sebagai calon), itu haknya sebagai rakyat. Saya tidak ada komen. Itu hak beliau.
“Isu beliau sudah diketahui umum jadi biar rakyat yang mennetukan apa yang terbaik untuk mereka,” kata Anwar berhubung pencalonan Isa.
Hari mengundi adalah pada 13 Oktober. – 28 September, 2018
Komen