Sindiket nelayan Vietnam mungkin dapat ‘bantuan’ rakyat Malaysia


Jason Santos

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua kapal nelayan Vietnam yang dipercayai terbabit dalam sindiket menangkap ikan. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

SINDIKET Vietnam didakwa mengeksploitasi kelompangan dalam undang-undang maritim negara untuk merampas bekalan ikan Sabah – dengan bantuan rakyat Malaysia.

Pengarah Wilayah Sabah dan Labuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som berkata pihaknya tidak menafikan skim itu dilakukan sindiket asing untuk terlepas daripada undang-undang.

Katanya, ini termasuk bot dicat dengan permit berdaftar dengan ada antara mereka mempunyai salinan lesen.

“Selepas kira-kira lapan bulan mengkaji pergerakan kapal Vietnam yang berdaftar, kami dapati ada beberapa fakta yang mengelirukan mengenai mereka.

“Di mana kapal itu menurunkan ikan mereka? Sepanjang pemerhatian, kami tidak pernah nampak kapal terbabit berlabuh di jeti tempatan. Adakah mereka memindahkan tangkapan di perairan antarabangsa atau mereka terus balik ke Vietnam?

“Kami juga mendapati mereka tidak mendapat subsidi minyak daripada pelabuhan tempatan,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata dalam penahanan terbaru kapal nelayan Vietnam berhampiran pulau Mengalum, kapal berkenaan berdaftar dengan SBF30 dan SBF31, tetapi pemeriksaan lanjut mendedahkan permit mereka didaftarkan sebagai SBF28 dan SBF29.

Zubil berkata jika disabitkan bersalah kapten kapal boleh didenda hingga RM1 juta sementara tambahan RM100,000 bagi setiap anak kapal.

“Tetapi apa yang kami hendak tahu ialah bagaimana operator boleh dapat nombor pendaftaran,” katanya, menambah ada kemungkinan rakyat Malaysia memberikan maklumat kepada sindiket Vietnam untuk membenarkan mereka beroperasi di perairan Malaysia.

Terdapat kira-kira 13 syarikat Sabah menyediakan lesen menangkap ikan kepada 31 kapal Vietnam, dan anak kapal jabatan perikatan pada masa ini.

Zubil berkata dari 2016 hingga 2017, lapan kapal Vietnam dan anak kapal ditahan tetapi hanya dikenakan denda RM500. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen