BEKAS pengerusi Felda, Mohd Isa Samad mengesahkan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, melawan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim.
Menurut Isa, beliau membuat keputusan itu selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) memboikot PRK pada 13 Oktober ini.
“Insya-Allah saya akan bertanding. Besok-besok saya beritahu (kenapa). Saya memang nak bertanding. Saya ahli Umno tapi Umno tak nak masuk (bertanding).
“Umno hendak boikot, jadi saya rasa masuklah (bertanding bebas),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda dari 2010 hingga 2017 terjejas dengan penyiasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan urus niaga serta pembelian tanah yang meragukan.
Isa adalah juga bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun antara 1982 hingga 2004.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sebelum ini berkata Isa tidak ada peluang menang di Port Dickson kerana pengundi masih bersama Pakatan Harapan (PH) dan akan menyokong Anwar.
PH mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, menambah senarai negeri yang dirampasnya daripada BN sejak pilihan raya umum 2008.
Pada 2008 jugalah BN hilang pengaruh di kawasan Parlimen Port Dickson, kerusi yang pada masa itu dikenali dengan nama Telok Kemang. Calon PKR, Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Isa, bekas Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, memulakan karier politiknya terpilih sebagai Adun Linggi pada 1978 dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri. Beliau menang kerusi itu dalam empat lagi pilihan raya umum sehingga 2004.
Linggi ialah satu daripada lima kawasan DUN di bawah Parlimen Port Dickson, selain Chuah, Lukut, Bagan Pinang dan Sri Tanjong.
Pada PRU 2004, Isa bertanding kerusi Parlimen Jempol dan dilantik sebagai menteri kabinet dalam kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kemudian letak jawatan selepas didapati bersalah terlibat melanggar etika Umno dalam pemilihan parti pada 2005.
Isa yang ketika itu naib presiden Umno dikenakan hukuman gantung enam tahun daripada memegang jawatan dalam parti, yang kemudian diringankan kepada tiga tahun. Hukuman itu tercabut pada 2008.
Pada 2009, Isa muncul semula dalam arena politik apabila menang pilihan raya kecil Badan Pinang.
Walaupun BN dan Umno memutuskan untuk memboikot PRK itu, PAS akan menamakan calonnya malam ini.
Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Stevie Chan Keng Leng juga berkata mereka akan bertanding.
Hari penamaan calon untuk PRK ialah Sabtu ini. – 27 September, 2018.
Komen