DAP tak akan bekerjasama dengan Umno, kata Gobind


Bede Hong

Timbalan Pengerusinya, Gobind Singh Deo berkata DAP kita tidak akan bekerjasama dengan Umno sama sekali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018.

DAP tidak akan bersetuju jika Umno mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Pengerusinya, Gobind Singh Deo.

“Saya boleh sebut untuk pihak DAP kita tidak akan bekerjasama dengan Umno sama sekali,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

“Kita memang tidak akan bekerjasama dengan mereka. Saya rasa Tun Dr Mahathir sudah sebut dengan cukup jelas dan kita mendukung pendirian itu,” kata beliau, merujuk kepada pertemuan antara perdana menteri dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Apabila diminta mengulas sama ada pertemuan itu melibatkan perbincangan bahawa Umno akan membentuk kerajaan perpaduan dengan PH, Gobind menjawab: “Ia hanya satu perjumpaan biasa, saya yakin tiada perbincangan (mengenai kemungkinan bergabung).”

DAP merupakan parti kedua dalam PH yang mengisytiharkan tidak akan bekerjasama dengan Umno selepas keluar laporan bahawa parti itu sedang berusaha membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

Terdahulu hari ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata tidak munasabah bagi parti itu bekerjasama dengan parti pembangkang seperti Umno yang sudah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14. 

Mengenai sama Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Gobind berkata: “Kita sudah sebut berulang kali dan dengan jelas semasa kempen pilihan raya yang Tun Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri dan Anwar Ibrahim akan jadi perdana menteri yang seterusnya.

“Kita di pihak DAP memberi sokongan kepada aturan ini dan kita yakin ia akan menjadi satu peralihan yang aman. Saya tak jangkakan sebarang masalah,” kata ahli Parlimen Puchong itu.

“Seperti yang kita boleh lihat, kedua-dua pemimpin sedang berusaha keras untuk memulihkan keadaan kewangan dan situasi politik negara, dan saya rasa kita perlu menghormati kepimpinan kedua-dua pemimpin ini dan sumbangan mereka.” – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen