Tiada lagi siaran langsung perhimpunan agung parti


Bede Hong

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dijadual membuka persidangan serentak tiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam esok, diikuti Presiden Umno membuka Perhimpunan Agung Umno Malaysia pada Sabtu malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 September, 2018.

RTM tidak akan lagi menyiarkan secara langsung perhimpunan agung mana-mana parti politik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

“Tiada siaran langsung. Kita tak buat. tetapi kalau ada sidang akhbar selepas itu, sudah tentu boleh, apa saja yang dibawa pada sidang akhbar, kita akan lapor,” katanya di Putrajaya hari ini.

“Semua parti politik ada agenda masing-masing. Mereka ada perhimpunan agung sendiri, mesyuarat dan acara. Jika ada sidang akhbar atau berita, jadi ia boleh disiarkan mengikut kesesuaian agensi masing-masing di Malaysia Baharu ini.”

Perhimpunan Agung Umno yang ke-72 dan kali pertama sebagai pembangkang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Gobind yang juga timbalan pengerusi DAP, menolak cadangan untuk menyiarkan perhimpunan tersebut. 

“Setakat yang kita tahu, tiada siaran langsung.

“Kita sudah jelaskan perkara ini. Tetapi sudah tentu RTM dan Bernama akan membuat liputan berita.

“Kena faham, RTM ada program yang diperuntukkan untuk sepanjang hari. Kita tak siar acara langsung seperti itu,” katanya.

Pada tahun-tahun sebelum ini, semasa Umno menunjangi kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu, RTM menyiarkan secara langsung ucapan perasmian pimpinan Umno membuka perhimpunan tahunannya.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan dijadual membuka persidangan serentak tiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam esok, diikuti Presiden Umno membuka Perhimpunan Agung Umno Malaysia pada Sabtu malam. – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen