Jangan pertikai saham kaum India dalam Malindo Air, kata ahli Parlimen pembangkang


Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata rakyat Malaysia yang mempunyai hak sebagai warganegara untuk memiliki segala saham dan syer tanpa mengira kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

TINDAKAN Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa mempersoalkan pemilikan syer 49%  syarikat penerbangan Malindo oleh ketua pegawai ekskutif dan isterinya yang berbangsa India dibidas ahli Parlimen pembangkang dengan mendakwa ia serangan perkauman.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata tindakan pemuda Umno bersama Perkasa itu sangat tidak adil seolah kaum India bukan merupakan sebahagian daripada  Malaysia.

“Chandra Rama Murthy ini siapa.. beliau ini dari Jepun ke dari Eropah ke (tidak) beliau ini adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak sebagai warganegara untuk memiliki segala saham dan syer.

“Kenapa kena mempertikaikan dan mempersoalkan tentang saham dimiliki kaum India dalam syarikat penerbangan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain bersifat perkauman, beliau berkata tindakan Pemuda Umno itu secara tidak langsung menafikan usaha Perdana Menteri Najib Razak yang mengiktiraf kaum India di negara apabila melancarkan Malaysian Indian Blueprint.

Sebelum ini Penolong Setiausaha Pemuda Umno Mohamad Sahfri Ab Aziz meminta penjelasan tentang pemilikan syer syarikat Malindo yang dimiiki Chandra Rama Muthy dan isterinya.

Sebelum ini menerusi kaji selidik Invoke yang dijalankan antara 2 Jun hingga 14 Julai tahun ini mendapati rasa tidak puas hati berterusan dalam kalangan masyarakat India berpaksi pada tiga kebimbangan utama; kos sara hidup tinggi, rasuah serta kurang peluang kerjaya dan gaji rendah.

Pada masa sama beliau berkata serangan perkauman begini hanya akan menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara.

“Seperti laporan The Malaysian Insight menyatakan kira-kira 20,000 rakyat Malaysia berhijrah ke Australia.

“Dan tidak mustahil kita akan saksikan lebih ramai rakyat Malaysia yang akan keluar negara jika serangan perkauman ini berterusan,” katanya.

Semalam, dalam laporan The Malaysian Insight mendedahkan lebih 20,000 rakyat Malaysia berhijrah ke Australia antara 2010 hingga 2015 kerana mahukan pendidikan lebih baik untuk anak serta hidup berkeluarga yang berkualiti. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen