UMNO mungkin tidak akan dapat balik duit yang dirampas dalam serbuan polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata dana Umno yang dirampas akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan.
Menurut Noor Rasjid, jika tidak dibawa ke mahkamah, polis boleh memulangkan semula atau memilih tindakan pelucuthakan sivil seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram.
“Kita akan putuskan sama ada bawa ke mahkamah untuk diambil tindakan. Jika tiada tindakan, mungkin kita akan pilih pelucuthakan sivil.
“Kalau tidak, kita akan pulangkan duit itu. Semuanya kita akan lakukan berdasarkan bukti,” katanya selepas melancaran Hari Inovasi PDRM di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town.
Minggu lepas Umno memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut semula RM116.7 juta yang dirampas polis dari premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan tuntutan, Umno berkata ia memohon supaya serbuan dan rampasan polis pada 17 Mei itu diisytiharkan dijalankan secara tidak sah. Umno juga memohon ganti rugi am, teruk dan teladan.
Noor Rashid berkata polis percaya duit itu datang dari sumber haram berdasarkan kepada keterangan saksi dan cara ia disimpan. – 27 September, 2018.
Komen